loading...

Monday, May 9, 2011

Punca utama kemalangan maut

KUALA LUMPUR 8 Mei - Sikap sambil lewa kebanyakan syarikat pengendali kenderaan berat seperti lori dan bas terhadap Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHE) menjadi punca utama peningkatan jumlah kemalangan maut di negara ini.

Pengarah Pusat Keselamatan Kenderaan dan Biomekanikal Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Dr. Wong Shaw Voon berkata, kadar kemalangan maut mampu dielakkan sekiranya kod amalan SHE yang mengutamakan faktor struktur, kualiti, laluan dan pengurusan maklumat kenderaan dipatuhi.

"Hanya segelintir sahaja pemandu dan syarikat pengendalian kenderaan sedar tentang kewujudan kod amalan ini. Mereka lebih rela meletakkan nyawa orang ramai dalam bahaya demi mengaut keuntungan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas beliau, struktur kenderaan berat yang tidak menggunakan over run bar iaitu satu alat penyerap pertembungan adalah punca utama kereta terperosok di bawah lori.

"Apabila keadaan ini berlaku, pastinya pemandu kereta dan penumpang akan terkorban.


 "Selain itu, reka bentuk bas yang tidak mengikut piawaian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-Suruhanjaya Ekonomi Eropah (UNECE) yang menekankan pentingnya struktur bas berkeadaan kukuh akan menyebabkan penumpang tercampak dari bas jika berlakunya momentum yang kuat,'' jelasnya.

Beliau menambah, faktor kedua iaitu kualiti kenderaan yang dijaga rapi menerusi pemantauan berterusan pakar kenderaan turut mampu mengelakkan kemalangan maut.

Katanya, faktor pemilihan laluan yang sesuai seperti mengelak kawasan kemalangan tinggi turut dilihat praktikal dalam mengurangkan pengulangan kemalangan di tempat sama serta melancarkan perjalanan kenderaan tersebut.

Tambahnya, faktor pengurusan maklumat yang melibatkan komunikasi antara syarikat pengendali kenderaan dan pemandu melalui sistem pengesanan had laju dan sistem komunikasi radio dilihat sangat penting bagi memastikan pemandu tidak melebihi had laju dan tidak hilang kawalan disebabkan mengantuk atau di bawah pengaruh dadah.

"Saya yakin SHE berkesan menurunkan kadar kemalangan negara. Namun, penguatkuasaan kod amalan tersebut perlu menyeluruh dan diwajibkan kepada semua kenderaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my