loading...

Sunday, June 26, 2011

Maut Selepas Perlawanan Hoki


REMBAU – Bukan sahaja terbabas, sebaliknya kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 240.3 Lebuhraya Utara - Selatan, berdekatan Plaza Tol Pedas, di sini, semalam turut terperosok antara dua tiang papan tanda di tepi lebuh raya, sebelum terseret sejauh kira-kira 10 meter ke dalam longkang. ( Sumber Utusan mengatakan terseret sejauh sejauh 70 meter )

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, kenderaan dinaiki lima mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke Lumut, Perak selepas seorang daripada penumpang kenderaan berkenaan, Ramlan Pilus, 29, selesai menyertai perlawanan hoki di Melaka.



Akibat kemalangan itu, Ramlan meninggal dunia di tempat kejadian, selain seorang kanak-kanak dikenali sebagai Nurul Amynadjwa Mohd Latip, 2, yang juga anak rakan Ramlan yang turut serta dalam kenderaan berkenaan.

Bapa tiga anak itu berasal dari Gemencheh adalah anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikatakan menumpang kenderaan rakannya itu yang juga anggota tentera dan berkonvoi bersama beberapa kenderaan lain ke Lumut.

Ketika kejadian, Ramlan dipercayai memandu kenderaan berkenaan.

Jurucakap polis berkata, selain itu, tiga lagi mangsa yang turut berada dalam kenderaan berkenaan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tunku Jaafar (HTJ), Seremban untuk rawatan lanjut.

Ketiga-tiga mangsa dirawat di HTJ dikenali sebagai pasangan suami isteri, Mohd Latip Ismail, 33, dan Ruzilawati Majid, 33, serta Mohd Ifdaniel Mohd Latip, 5.

Sementara itu, abang kepada Ramlan, Rosdi Pilus, 36, berkata, arwah bersama rakannya menyertai perlawanan hoki di Melaka dan sempat melawat nenek mertuanya di Hospital Melaka selepas perlawanan berkenaan, semalam.


“Arwah sempat bertemu isteri dan tiga anaknya yang turut datang melawat nenek mertuanya itu, sebelum bertolak ke Lumut tadi (semalam).

“Cuma, seorang anaknya seolah-olah tahu arwah akan pergi apabila tidak mahu melepaskan bapanya itu untuk pulang ke Lumut," katanya.

Rosdi berkata, kali terakhir dia bertemu adiknya itu ketika majlis perkahwinan seorang adiknya di Gemencheh, Ahad lalu.

“Kami lapan beradik memang rapat dan arwah seorang adik yang sangat ambil berat mengenai keluarga.

“Saya terperanjat menerima panggilan daripada seorang rakan arwah mengatakan arwah meninggal dalam satu kemalangan,” katanya.

Rosdi berkata, arwah adiknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sri Asahan, Gemencheh, selepas solat Zohor hari ini.

Sumber dari Utusan Malaysia pula, Jurucakap polis berkata, MPV itu terbabas ke tepi lebuh raya sebelum terbalik dan terseret sejauh 70 meter sehingga terhumban ke dalam longkang berhampiran.

Kemalangan yang dalam perjalanan dari arah selatan menuju ke utara itu gagal dikawal kerana dipercayai dipandu laju menyebabkannya terbabas.


Sumber: Sinar Harian
             Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my