loading...

Wednesday, June 29, 2011

Penguna Jalan Klawang-Titi Perlu Berhati-hati


PETALING - Orang ramai yang menggunakan Jalan Klawang-Titi diminta memandu dengan berhati-hati ekoran tiga kejadian kemalangan yang berlaku sepanjang dua minggu lalu di mana dua daripadanya melibatkan kemalangan maut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Datuk Siow Chen Pin berkata, dua kematian yang berlaku melibatkan seorang anggota polis dari Balai Polis Titi dan seorang warga emas berketurunan Cina yang meninggal Ahad lalu.

Menurutnya, kemalangan terbaru yang berlaku pagi tadi di simpang masuk ke Kampung Seperi di mana seorang lelaki Cina berusia sekitar 30-an dilanggar sebuah kereta ketika keluar dari simpang berkenaan.

“Kejadian yang berlaku kira-kira jam 8.30 pagi itu menyebabkan lelaki berkenaan cedera parah di kepala dan dihantar ke Hospital Jelebu sebelum dibawa ke Hospital Besar Seremban,” katanya.

Chen Pin berkata, kemalangan yang berlaku di kawasan terbabit tidak boleh dipandang ringan kerana dua dari tiga kejadian melibatkan kematian.

“Perkara ini telah dibangkitkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Jelebu bagi menggesa pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan polis mengambil tindakan bagi mengurangkan kadar kemalangan maut.

“Saya mencadangkan agar had laju di kawasan berkenaan dihadkan kepada 70 km/j dan garisan kuning perlu dibuat lebih tebal di jalan raya itu bagi mengurangkan kelajuan kenderaan,” katanya.

Chen Pin berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Peserta Felda Titi Jelebu Berhad Kali Ke-15 di Dewan Sekolah Agama Rakyat Felda Titi, dekat sini,

Hadir sama, Pengerusi Felda Titi, Salahuddin Mat; Penolong Pegawai Hal Ehwal Ekonomi Wilayah Jelebu Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Yustri Andalis Zahar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Lembaga Pengarah Koperasi Peserta Felda Titi Berhad, Nasir Suradi.

Dalam pada itu, Chen Pin berkata, selain kenderaan awam, lori pengangkut pasir dari Sungai Muntoh yang didakwa dipandu laju turut membahayakan nyawa pengguna jalan raya di kawasan itu.

“Kita turut meminta JKR mempercepatkan kerja membina longkang di simpang masuk ke Kampung Seperi kerana ia seperti terbengkalai kerana setiap kali melalui kawasan berkenaan, saya dapati kerja pembinaan tidak dijalankan.

“Keadaan jalan di kawasan berkenaan amat merbahaya khususnya pada waktu malam kerana tiang lampu di pintu masuk jalan dicabut seketika untuk membina longkang,” katanya.

 
Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my