loading...

Saturday, July 2, 2011

Parah Lori Balak Terbalik


KUANTAN- Seorang lelaki cedera parah apabila lori balak yang dipandunya terbalik ke dalam longkang di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang, berhampiran jejambat yang dalam pembinaan, pagi semalam.

Mangsa yang cedera di bahagian tangan dan kepala terselamat apabila orang awam membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam lori tersebut.

Difahamkan, kemalangan berlaku akibat lori mangsa dikatakan dihimpit sebuah lori lain sebelum kemalangan mengakibatkan muatan balak bertaburan di permukaan jalan selain keadaan kedua-dua laluan sesak kira-kira satu kilometer.

Saksi kejadian, Azri Mohamed Ridzuan, 29, berkata, dia melihat lori balak yang dipandu mangsa dihimpit sebuah lori lain sebelum lori tersebut terjunam ke dalam longkang berdekatan kira-kira jam 10 lagi semalam.

“Ketika kejadian saya sedang menunggang motosikal dalam perjalanan menghala ke Bandar Kuantan dari Taman Tas di sini dan berada di belakang lori sebelum kejadian.

“Selepas itu, sejurus sampai ke satu selekoh kecil lori yang berada di laluan kanan tiba-tiba terus menghimpit lori balak dipandu mangsa menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan seterusnya terbabas menjunam ke dalam longkang,” katanya.

Azri berkata, selepas kejadian terbabit pemandu lori yang menghimpit lori mangsa kemudian berhenti beberapa minit di tepi jalan sebelum terus melarikan diri daripada tempat kejadian.

Menurutnya, dia sempat melihat lori dipandu mangsa melayang ke kiri jalan dan terbalik ke dalam longkang.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dengan bantuan ambulans yang tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Zulkifli Taha, meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil di Balai Trafik Kuantan bagi membantu siasatan.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my