loading...

Saturday, June 25, 2011

Remaja 17 Terbunuh

SENAI - Seorang remaja lelaki terbunuh selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum melanggar sebuah lori dari arah bertentangan di Jalan Jati Taman Air Biru, Pasir Gudang pagi semalam.

Mangsa Muhamad Ashrul Afandi Ridzuan, 17, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini mati di tempat kejadian selepas dipercayai gagal mengawal kereta jenis Proton Satria yang dipandunya.

Mangsa dikatakan telah masuk ke arah aliran trafik bertentangan dan kejadian berlaku kira-kira jam 6.20 petang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Roslan berkata, akibat kegagalan mangsa mengawal kenderaan, menyebabkannya masuk ke arah bertentangan sebelum melanggar sebuah lori muatan tiga tan.

“Kemalangan maut itu berlaku di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3, dan mangsa didapati parah di bahagian kepala dan badan tersepit menyebabkannya meninggal di tempat kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa dan kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/johor/content/story9231304.asp

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my