loading...

Sunday, June 19, 2011

Hasrat menziarahi ibunya tidak kesampaian

 Al-Fatihah...

MUAR – Hasrat seorang wanita untuk menziarahi ibunya tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Jeram-Sungai Terap di sini, malam semalam.

Mangsa terbunuh, Minah Mistari, 48, mati serta-merta di tempat kejadian apabila kereta Perodua Kancil yang dipandunya dipercayai dirempuh oleh Perodua Alza yang dinaiki oleh dua pemuda dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, Minah yang memandu secara bersendirian dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Sri Bakri Batu 3 ke rumah ibunya di Bukit Pasir.

Setibanya di tempat kejadian, kereta mangsa telah dirempuh oleh Perodua Alza dari arah Sungai Terap menghala ke Bakri.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa hilang kawalan dan berpusing beberapa kali sebelum melanggar tiang lampu jalan.

Suami mangsa, Abd Ghani Ibrahim, 51, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia tidak menyangka isterinya akan meninggal dunia dalam insiden yang tragis.

“Selepas solat Maghrib isteri telah bersiap-siap untuk keluar ke rumah ibu dan dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan yang pelik.

“Seperti biasa sebelum keluar rumah dia akan bersalaman dengan saya terlebih dahulu dan tidak menyangka ia merupakan salam yang terakhir darinya,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.

“Kedua-dua pemuda yang menaiki kereta Perodua Alza pula hanya mengalami kecederaan ringan.

“Mayat mangsa di bawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my