loading...

Sunday, June 19, 2011

Enam Cedera Pertembungan Antara Saga dan Nissan

JELI 19 Jun - Dua pemandu dan empat penumpang dua buah kenderaan nyaris maut selepas kereta Proton Saga dan Nissan Sunny yang mereka naiki bertembung dalam kemalangan di Lebuh Raya Jeli-Gerik dekat Kampung Kuala Long di sini, lewat petang semalam.

Mereka yang cedera ringan ialah pemandu Proton Saga, Faizul Mokhtar, 20, adik perempuannya, Rohaja Mokhtar, 18, dan dua saudaranya, Zulkifli Ismail, 21, dan Siti Aminah Hanapi, 18.

Turut cedera ringan ialah pemandu kereta jenis Nissan Sunny, Hamzah Kalai, 50-an, dan seorang penumpang yang tidak dapat dikenalpasti identitinya.

Menurut seorang penduduk, Zamri Ismail, 34, yang menyaksikan kejadian itu, kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.30 petang selepas kereta Nissan Sunny yang datang dari arah Jeli menuju ke Gerik, dikatakan cuba memotong barisan enam buah kenderaan.

Ketika itu, datang kereta Proton Saga dipandu Faizul dari arah bertentangan dan cuba mengelak, tetapi gagal disebabkan terdapat longkang di bahagian kiri jalan.

"Ketika kejadian, saya berada di kedai makan berhampiran tempat kejadian dan terus bergegas selepas melihat kemalangan tersebut. Empat daripada mangsa yang tersepit dalam kenderaan, berjaya dikeluarkan oleh penduduk kampung," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli dengan bantuan ambulans.

Sementara itu, bapa saudara Faizul, Hanapi Che Mat, 67, ketika ditemui di Hospital Jeli memberitahu, keempat-empat anak saudaranya itu keluar rumah di Kampung Sungai Long kira-kira pukul 5 petang bagi menghantar Rohaja dan Siti Aminah pulang ke asrama di Sekolah Menengah Ayer Lanas.

"Saya dimaklumkan kejadian itu oleh penduduk kampung dan terus bergegas ke tempat kejadian," jelasnya.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan,Sheik Azhar Sheik Omar ketika di hubungi, mengesahkan kejadian tersebut.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my