loading...

Tuesday, June 4, 2013

Van rempuh kedai makan

van rempuh kedai makan


4 Jun 2013
TEMERLOH - Keresahan seorang ibu tunggal yang tidak dapat tidur lena, malam kelmarin rupanya petanda kedai makan miliknya di simpang Kampung Jenderak, di sini, dirempuh sebuah van pada jam 5 pagi semalam.



Walaupun rempuhan kuat itu menyebabkan sebahagian besar kedai makannya roboh, namun Siti  Rogayah Yusoff, 35, bersama anak tunggalnya, Puteri Qarisha Abdullah 9, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, empat daripada tujuh penumpang van yang merempuh kedai makan berkenaan, cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas), di sini.

Menceritakan detik kejadian, Siti Rogayah berkata, dia bersama anaknya, abang ipar, Mohamad Jak Masdor, 51, dan kakaknya, Noreha Yusoff, 46, bermalam di kedai tersebut yang baru sebulan beroperasi.

Menurutnya, rempuhan kuat awal pagi itu mengejutkan mereka apabila tangisan kanak-kanak dan penumpang van begitu kuat kedengaran.

“Bila saya keluar dari bilik, van itu sudah merempuh kereta abang ipar dan kereta saya, manakala bumbung van pula tersangkut pada bumbung kedai.

“Nasib baik saya dan abang ipar parkir kereta di hadapan kedai, kalau tidak, sudah tentu van itu akan merempuh dinding kedai dan masuk ke dalam bilik tempat kami tidur,” katanya.

Siti Rogayah berkata, dia dan keluarga kemudiannya membantu penumpang van keluar dan sempat melihat dua kanak-kanak serta dua penumpang dewasa mengalami kecederaan.

Katanya, mereka yang cedera dihantar penduduk kampung ke Klinik Kesihatan Kuala Krau sebelum dibawa naik ambulans ke hospital.

Difahamkan, semua penumpang van terbabit berasal dari Jengka 25 dan dalam perjalanan pulang dari kenduri di Ipoh, Perak.

Siti Rogayah berkata, akibat rempuhan itu, dia mengalami kerugian RM10,000 apabila kedai makannya rosak teruk termasuk beberapa peralatan niaga.

“Itu tidak termasuk kerugian kereta kami, kereta Proton Saga abang ipar rosak dan tidak dapat dibaiki lagi,” katanya.

Menurutnya, dia membuka kedai makan itu dua bulan lalu dengan modal sendiri sebanyak RM30,000 di atas tanah disewa dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM).

“Walaupun rugi, saya tidak mahu salahkan sesiapa, tapi saya harap sangat kerajaan atau mana-mana pihak dapat bantu baiki kedai makan ini supaya saya boleh berniaga seperti biasa.

“Saya ada mohon bantuan daripada Pertubuhan Peladang (PPK) Sri Kerdau dan harap sangat mereka boleh bantu saya dapatkan semula modal untuk berniaga,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kuala Krau, pagi semalam.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/van-rempuh-kedai-makan-1.167208


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my