Dua maut manakala empat lagi cedera parah apabila dua kenderaan bertembung di Kilometer 4 Jalan Tampin-Gemas
Inalillahi wainailaihi rojiun
4 Jun 2013
TAMPIN - Hajat seorang abang untuk tinggal bersama adiknya di rumah sewa dekat Seremban tidak kesampaian apabila kereta yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di kilometer empat, Jalan Tampin-Gemas, dekat sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.05 itu, mangsa, Amirul Asri Zainal, 23, dan adiknya, Amirul Naim, 21, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Desa Permai, dekat sini selepas menjamu selera bersama rakan-rakan di bandar ini.
Rakan sekerja arwah Asri, Zulkifli Jamaludin, 36, berkata, arwah baru sahaja meminta dia mencari rumah sewa untuknya dan adiknya yang baru tamat pengajian di Universiti Malaysia Perlis (Unimap).
“Arwah bekerja di sebuah kilang di sini, sebagai juruteknik sejak tiga bulan lalu. Jadi buat masa ini, dia menetap bersama keluarga saudaranya di Seremban dan berhasrat ingin mencari rumah sewa.
“Walaupun baru tiga bulan kenal arwah, saya semakin rapat dengannya berikutan waktu kerja yang sama dan arwah juga seorang yang selalu ingin belajar mengenai kerjanya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Bilik Mayat Hospital Tampin, dekat sini, semalam.
Zulkifli berkata, jika diikutkan, pada hari ini (semalam), dia dan arwah berjanji untuk berjumpa di Masjid Tanah bagi menambah perhiasan kereta di kedai rakan arwah.
“Memang dah janji berjumpa dengan rakan-rakan tengah hari ini, namun kami semua tidak menyangka perbualan kami malam tadi adalah yang terakhir," katanya.
Bapa mangsa, Zainal Sabu, 49, berkata, dia sangat terkejut apabila rakan anaknya datang ke rumah dan menyatakan kedua-dua anaknya terbabit dalam kemalangan.
“Kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang kelainan dan kami berbual-bual seperti biasa sehari sebelum kejadian," katanya.
Jenazah kedua beradik itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Ulu Yoh dalam satu liang lahad.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, dua beradik itu disahkan maut sebaik sahaja sampai di Hospital Tampin sementara empat individu lagi termasuk seorang ibu mengandung cedera parah.
Menurutnya, kedua-dua kenderaan itu bertembung dari arah bertentangan.
“Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Satria dalam perjalanan dari Tampin menghala ke Gemencheh.
“Manakala, sebuah lagi kenderaan jenis Proton Satria Neo dinaiki empat individu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Melaka," katanya.
Katanya, kesemua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban untuk rawatan lanjut.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/tak-sempat-tinggal-bersama-1.167152
http://www.hmetro.com.my/articles/2maut_4parahkemalangandiTampin/Article
No comments:
Post a Comment