loading...

Monday, February 6, 2012

1 Maut Brek Bas Rosak

PELABUHAN KLANG - “Sebaik menyedari brek bas tidak berfungsi, saya nekad memandu bas menghala semak demi mengelak banyak nyawa penumpang dan pemandu kenderaan lain terkorban,” demikian cerita pemandu bas kilang, Ahmad Ali, 51, berkenaan detik-detik kemalangan maut membabitkan bas dipandunya hingga meragut satu nyawa penumpang.

Menurutnya, pada mulanya, dia ingin membelok bas ke kiri jalan menghala Pandamaran, namun khuatir bas akan melanggar beberapa kenderaan yang sedang berhenti di simpang tiga lampu isyarat.

“Dalam fikiran saya, jika bas melanggar kenderaan tersebut pasti lebih banyak nyawa akan melayang, lalu saya nekad memegang stereng menuju semak sebelum melanggar sebatang pokok dan paip air.

“Saya sangka keputusan itu dapat menyelamatkan semua penumpang dan pemandu kenderaan lain termasuk penumpang dalam bas saya, namun sebaliknya berlaku apabila seorang penumpang bas yang saya bawa pula maut.

“Saya tidak sangka apa yang saya lakukan berakhir dengan tragedi berdarah,” katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad yang memandu bas kilang dari arah Persiaran Raja Muda Musa menghala Pandamaran dengan membawa 35 penumpang yang juga pekerja kilang nyaris maut apabila brek bas yang dipandu secara tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan bas hilang kawalan lalu
melanggar sebatang pokok dan juga paip milik sebuah kilang, di simpang tiga lampu isyarat, Jalan Sungai Keladi, di sini petang kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, seorang penumpang wanita warga Indonesia maut manakala lima lagi cedera ringan yang kebanyakannya berada di kerusi hadapan.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku ketika pemandu bas dalam perjalanan menghantar 35 pekerja kilang ke kediaman masing-masing di Pandamaran selepas selesai bekerja.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu mendakwa bas yang dipandunya secara tiba-tiba hilang kawalan akibat brek tidak berfungsi sebelum melanggar pokok dan saluran paip.

“Rempuhan kuat itu menyebabkan saluran paip pecah manakala salah seorang penumpang tercampak keluar daripada bas hingga meragut nyawanya.

“Lima lagi penumpang turut cedera manakala selebihnya dilaporkan selamat walaupun masih mengalami trauma,” katanya.

Menurutnya, sehingga kini keterangan pemandu bas sudah diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-nekad-rempuh-pokok-1.22136

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my