Inalillahi wainailaihi rojiun
18 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang wanita yang pada mulanya terselamat dalam satu kemalangan, maut akibat dirempuh sebuah kereta ketika mangsa sedang menunggu bantuan di lorong kecemasan lebuh raya.
Kejadian berlaku kira-kira 11.30 malam di Kilometer 247.6 Lebuhraya Utara - Selatan, berhampiran Plaza Tol Senawang, dekat sini, apabila Widayati Abdol Aziz, 41, berdiri di lorong bantuan kecemasan selepas kereta jenis Hyundai Atos dinaiki bersama tiga anaknya hilang kawalan dan terbabas di tengah lebuh raya, kira-kira sejam sebelum itu.
Ketika kemalangan pertama, Widayati bersama dua anaknya, Muhamad Shazwan, 17, dan Mohd Shahir, 11, berjaya keluar dari kereta. Bagaimanapun, seorang lagi anaknya, Muhammad Shafiq Mohd Yusob, 15, tercampak keluar kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Berikutan kemalangan itu, sekumpulan orang awam turut sama membantu mangsa di tempat kejadian.
Bagaimanapun, ketika masing-masing sedang menunggu bantuan kecemasan, kira-kira sejam selepas itu, sebuah kereta jenis Proton Persona meluru laju dan merempuh Widayati dan anaknya, serta orang awam yang membantu mangsa.
Akibatnya, Widayati cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 12.50 malam.
Sementara, kakak mangsa dikenali sebagai Kamariah, 50, yang tiba selepas kemalangan pertama serta seorang orang awam, Ismail Na'emat, 55, parah, manakala seorang lagi orang awam, Khairul Hasni Abd Ghani, 40, dan dua anak Widayati, cedera ringan.
Difahamkan, pemandu Proton Persona itu bagaimanapun melarikan diri sejurus selepas merempuh mangsa.
Ketika kejadian, cuaca juga berada dalam keadaan baik, namun keadaan jalan gelap kerana tiada lampu jalan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamarudin mengesahkan menerima laporan kejadian.
Polis kini sedang mencari pemandu Proton Persona terbabit yang bernombor pendaftaran PJW9537 untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Al-Fatihah
Pemilik plat PJW 9537 diminta serah diri
Seremban: Dua beranak maut dalam dua kemalangan berasingan di Kilometer 247.6, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa yang juga kakitangan di Majlis Perbandaran Klang (MPK), Widayati Abdol Aziz, 41, yang memandu kereta Hyundai Atos bersama tiga anak lelakinya, Mohd Shahir Mohd Yusob, 11, Muhammad Shafiq Mohd Yusob, 15, dan Muhammad Shazwan Mohd Yusob,17, dalam perjalanan pulang dari rumah kakaknya di Melaka ke Taman Sri Kapar, Klang, Selangor.
Jurucakap polis berkata, setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu Widayati hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya lalu berpusing dan melintang di tengah jalan. “Muhammad Shafiq yang berada di tempat duduk belakang tercampak keluar dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” katanya.
“Manakala Widayati, Mohd Shahir dan Muhammad Shazwan tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibantu orang ramai sebelum diletakkan di lorong kecemasan sementara menanti bantuan tiba,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam. Menurutnya, Widayati sempat menghubungi kakaknya, Kamariah Abdol Aziz, 50, yang berada di Jasin, Melaka memaklumkan kejadian itu. “Kakak mangsa tiba di tempat kejadian melihat keadaan adiknya dan turut sama dua orang awam, Ismail Na’emat, 55, dan Khairul Hasni Abd Ghani, 40, yang cuba membantu.
“Bagaimanapun, kira-kira jam 11.30 malam, datang sebuah kereta Proton Persona hitam dipandu seorang lelaki berusia 20-an dipercayai hilang kawalan dan cuba mengelak kereta Hyundai ATOS di tengah jalan dan merempuh enam mangsa di lorong kecemasan,” katanya. Kata jurucakap, akibat rempuhan itu, Widayati yang cedera parah di kepala meninggal dunia kira-kira jam 12.50 pagi di wad kecemasan HTJS, manakala Kamariah dan Ismail cedera parah. “Muhammad Shazwan, Mohd Shahir dan Khairul Hasni hanya cedera ringan dan jenazah dua beranak itu dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Jasin, Melaka,” katanya. Menurutnya, polis meminta pemandu kereta Proton Persona hitam bernombor pendaftaran PJW 9537 tampil serah diri di balai berhampiran atau gerakan memburu dijalankan.
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/kereta-rempuh-mangsa-kemalangan-1.183733
hmetro.com.my/articles/Hilang2nyawaselang2jam//Article
hmetro.com.my/myMetro/articles/2013071803020720130718030207/Article/index_html
No comments:
Post a Comment