loading...
Tuesday, July 16, 2013
Maut diserang sawan ketika menunggang
Inalillahi wainailaihi rojiun
16 Julai 2013
SEREMBAN – Seorang remaja maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan dan terbabas di bahu jalan, kira-kira 7 minit sebelum waktu berbuka puasa, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 7.20 petang di Kilometer 248.3 Lebuhraya Utara- Selatan di sini, mangsa, Muhamad Syukri Ismail, 18, dari Bandar Permaisuri, Terengganu dikatakan terbabas akibat diserang sawan ketika menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.
Lebih menyayat hati, kemalangan turut disaksikan abang mangsa, Muhamad Nor, 32, yang menunggang motosikal berasingan kira-kira 10 meter di hadapan, menerusi cermin sisi.
Mangsa bersama abangnya itu dalam perjalanan dari Cheras, Kuala Lumpur untuk pulang ke Kolej Unifil, Melaka.
Menceritakan kejadian, Muhamad Nor berkata, dia bersama adik bongsunya itu bertolak dari rumah keluarga mereka di Cheras kira-kira 6 petang.
"Saya iringi arwah ke Melaka kerana risau keselamatannya yang menunggang motosikal berseorangan.
“Sepanjang perjalanan, saya akan melihat arwah dari cermin sisi. Tapi, tapi tiba-tiba saya terkejut melihat motosikal ditunggang arwah hilang kawalan sebelum melanggar pengadang jalan dan arwah tercampak ke dalam semak di kiri jalan," katanya.
Menurutnya, dia kemudian berpatah semula melihat keadaan arwah sebelum mendapati adiknya itu sudah meninggal dunia.
Walaupun reda dengan pemergian adiknya, namun Muhamad Nor terkilan kerana tidak dapat memastikan adiknya selamat pulang ke kolejnya.
Sementara itu, menurut Muhamad Nor, arwah adiknya itu baru seminggu menuntut dalam jurusan teknologi maklumat di kolej terbabit.
"Arwah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kejadian namun bertegas untuk membawa motosikal ke kolej.
“Saya pada awalnya tidak benarkan kerana saya risaukan keselamatannya ketika menunggang motosikal. Tapi saya terpaksa akur dan tidak sangka perjalanan kami bertukar menjadi tragedi,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin mengesahkan menerima laporan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk bedah siasat.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-7-minit-sebelum-berbuka-1.183125
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment