loading...
Saturday, July 20, 2013
Pelajar terperosok bawah van
20 Julai 2013
REMBAU – “Semasa tiba di tempat kejadian, saya lihat orang ramai sudah mengerumuni sebuah van bagi membantu mengeluarkan mangsa yang terperosok di bawah kenderaan itu," luah Zulkifli Samsuri, 49, ketika ditemui di lokasi kemalangan, di kilometer 23.1, Jalan Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, mangsa dipercayai pelajar berusia 17 tahun yang baru sahaja selesai belajar berkumpulan di Rumah Rakyat Chembong dan ingin pergi ke kedai berdekatan lokasi kejadian.
Zulkifli berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Rembau menuju ke kediamannya di Chembong, namun terkejut apabila melihat orang ramai berada di atas jalan bertentangan dengan arah jalannya.
“Saya cepat-cepat memberhentikan motosikal dan bergegas menuju ke kumpulan orang ramai berkenaan yang sedang berusaha untuk mengangkat van berkenaan ke tepi.
“Kami tidak berani menyentuh mangsa, namun beberapa penduduk bertindak untuk menjaga lalu lintas. Malah, anggota bomba juga tiba di lokasi kejadian dan membantu memotong tali keledar mangsa yang tidak boleh dibuka,” katanya.
Katanya, pada mulanya mangsa hanya mendiamkan diri sahaja, namun selepas itu, dia mula mendengar suara mangsa yang seolah-olah menahan kesakitan susulan mengalami kecederaan di bahagian badan dan kepalanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, berdasarkan siasatan awal, penunggang motosikal iaitu seorang remaja perempuan datang dari arah Tampin mengubah haluan dan masuk ke laluan bertentangan.
“Susulan tindakannya itu, motosikal yang dipandu remaja berkenaan merempuh van yang dipandu lelaki berusia 45 tahun.
"Mangsa yang menetap di Kampung Rendah cedera di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban," katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/pelajar-terperosok-bawah-van-1.184734
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment