loading...

Saturday, July 20, 2013

Lori 10 tan terbalik

Lori 10 tan terbalik

20 Julai 2013
KUALA PILAH – Gara-gara mengalami masalah brek, sebuah lori muatan dedak ayam seberat 10 tan terbalik kerana  mahu mengelak dari melanggar kenderaan lain di persimpangan lampu isyarat Pekan Kuala Pilah dari arah Tampin, jam 10.35 pagi, semalam.

Pemandu lori, Said Arab, 45, berkata, ketika lori dipandu menuruni jalan berbukit di persimpangan lampu isyarat, brek kenderaan itu tiba-tiba tidak berfungsi sehingga dia terpaksa memaut stereng ke arah kiri jalan.

“Mujur di situ ada jalan susur ke kiri, jadi saya terus memasuki jalan berkenaan lalu hilang kawalan hingga menyebabkan lori ini terbalik.

“Saya sebenarnya dari arah Melaka menuju ke Pahang bagi menghantar dedak ini. Kami jangka sampai dalam jam 2 petang. Bagaimanapun, ia tergendala akibat insiden ini,” katanya. Said berkata, kejadian itu amat mendebarkan kerana perlu mengelak dari melanggar kenderaan lain di hadapannya yang kebetulan berhenti apabila lampu isyarat bertukar merah.

“Waktu itu, saya hanya fikir untuk elak bertembung dengan kenderaan lain. Jika tidak, mungkin lebih ramai yang mengalami kecederaan.

“Mujur, saya tidak mengalami kecederaan serius hanya mengalami cedera di leher dan luka di siku tangan belah kanan,” katanya yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah.

Sementara itu, kelindan, Zaidi Azmi, 23, berkata, insiden itu bukan kali pertama berlaku sejak dia menjadi kelindan.

“Cermin depan pecah dan dedak bertaburan di atas jalan. Mujur dedak itu masih elok dan penghantaran dedak akan diteruskan selepas dipindahkan ke lori lain kerana pelanggan sudah menunggu di Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, lalu lintas berjalan lancar selepas anggota Polis Trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah mengawal keadaan dan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah memadam percikan api dari arah tayar lori terbabit.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/lori-10-tan-terbalik-1.184716



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my