loading...

Tuesday, July 16, 2013

Nyaris maut dirempuh treler



16 Julai 2013
KUANTAN - Seorang pemandu nyaris maut apabila kereta dipandunya dilanggar sebuah lori treler dari arah belakang sebelum terbabas ke kanan jalan dan melanggar tiang elektrik di Jalan Semambu, di sini, semalam.



Dalam kejadian kira-kira jam 12,30 tengah hari itu, mangsa, Manickavasakam, 45, terselamat walaupun kereta jenis Proton Wira yang dipandunya remuk teruk.

Lori terbabit difahamkan turut terbabas ke kanan jalan, bagaimanapun pemandunya berjaya mengawal kenderaan itu daripada terus melanggar kereta mangsa yang terlekat di tiang elektrik.

Manickavasakam berkata, dia yang bekerja sebagai pemandu jengkaut dalam perjalanan dari arah Jalan Beserah menghala ke Semambu untuk keluar makan tengah hari.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian berhampiran kawasan perumahan Andorra Peak, dia memperlahankan kenderaannya kerana kereta di hadapan berhenti untuk memasuki simpang sebelah kanan ke kawasan kediaman eksklusif itu.

“Tiba-tiba terdengar bunyi kenderaan membrek secara tiba-tiba dari arah belakang dan sejurus kemudian kereta saya bergegar sebelum menggelongsor ke tepi jalan.

“Saya sempat melihat ke belakang dan ternampak sebuah lori treler melanggar bahagian belakang kereta dan menyeretnya beberapa meter,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Manickavasakam berkata, keretanya terlekat pada bahagian bawah depan lori seketika sebelum terlepas dan ketika itu keretanya hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik.

“Lori treler terbabit turut terbabas namun pemandunya sempat mengelak daripada terus menghentam kereta saya,” katanya.

Dia berkata, walaupun keretanya remuk teruk, namun dia tetap bersyukur kerana terselamat dalam nahas tersebut.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/pemandu-nyaris-maut-kereta-kena-langgar-treler-1.183017



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my