loading...

Wednesday, May 30, 2012

Nyaris Maut Dirempuh Lori

SABAK BERNAM – Berpantang maut sebelum ajal bagi seorang pemandu, apabila lori muatan makanan sejuk beku dipandunya terlibat dalam kemalangan tidak sampai lima minit selepas memulakan perjalanannya, di kilometer 43, Jalan Teluk Intan–Klang, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, dalam kejadian jam 6.45 pagi itu, mangsa, Noor Azam Adnan, 33, baru sahaja bergerak daripada kilang memproses makanan sejuk beku di Panchang Bedena.

“Dalam kejadian itu, Nor Azam memberhentikan kenderaannya di persimpangan lampu isyarat Tebuk Pulai kerana lampu isyarat di laluannya bertukar merah, sebelum dirempuh sebuah lori yang mengekorinya di laluan sama.

“Daripada laporan yang dibuat, lori muatan susu yang dipandu Khairul Rijal Ab Majid, 34, tidak perasan lampu isyarat bertukar merah dan ketika semakin menghampiri lori di hadapannya, dia cuba menekan pedal brek tetapi tidak berfungsi
serta menyebabkan kemalangan,” katanya.

Noor Mushar berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan lori Nor Azam terseret kemudianya terbabas sebelum melanggar lampu isyarat serta berpusing dan terbalik di jalan susur Air Manis ke Sabak Bernam.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital  Tengku Ampuan Jemaah  (HTAJ) untuk mendapatkan rawatan Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak berhati-hati.

Difahamkan, sebelum kejadian, Khairul Rijal yang dalam perjalanan dari Klang ke Pulau Pinang berhenti berehat di Sekinchan dan meneruskan perjalanan kira-kira jam 6.30 pagi sebelum terlibat kemalangan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sabak, Abdul Nasir Jalil, berkata, tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat berlaku kemalangan melibatkan jentera berat dan ada mangsa yang tersepit.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa kerana tangan kanan mangsa tersepit dan berdasarkan visual awal, mangsa didapati mengalami kecederaan minor di bahagian muka,” katanya.

Saksi kejadian diminta tampil menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di talian 03-3224 2222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Ahmad Zaki Mohd Nor, di talian 017-204 5833.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/pemandu-lori-nyaris-maut-1.52036

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my