loading...
Tuesday, May 14, 2013
Lori atap genting terbalik
14 Mei 2013
ALOR GAJAH - Seorang pemandu lori muatan atap nyaris maut apabila kenderaan dipandunya terbalik di Lebuhraya Utara-Selatan PLUS, Kilometer 211.7 arah Selatan, di sini, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lori dipandu, K Vinod, 30-an, hilang kawalan selepas tayar belakang sebelah kanan meletup.
Akibat kemalangan itu, lebih 500 atap genting yang hendak dibawa ke Johor Bharu bertaburan di lorong tengah lebuhraya, namun tidak membabitkan kenderaan lain.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian lori yang membawa muatan 592 keping atap genting itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bharu.
"Ketika itu, pemandu lori itu merasakan satu gegaran di bahagian belakang sebelum memperlahankan kenderaannya.
“Namun lori dipandu itu terhuyung-hayang ke kiri dan kanan lebuhraya sebelum berpusing lalu terbalik,” katanya.
Sementara itu, Vinod berkata, dia bernasib baik kerana ketika kejadian laluan di lebuhraya itu agak lengang.
“Saya sempat memperlahankan kenderaan ketika terasa lori seolah-olah bergegar di bahagian belakang.
“Dalam keadaan panik saya cuba mengawalnya agar tidak melanggar pengadang tengah lebuhraya sebelum lori terbalik," katanya yang mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin dihubungi Sinar Harian mengesahkan kemalangan itu.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/lori-terbalik-pemandu-nyaris-maut-1.160092
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment