loading...

Tuesday, October 18, 2011

Maut Kereta Terhumban Dalam Sungai Bunus


 KUALA LUMPUR 17 Okt. - Sungai Bunus terletak di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan Munshi Abdullah di sini, kini semakin banyak meragut nyawa pengguna jalan raya.

Dalam tahun ini sahaja, sudah berlaku dua kemalangan maut mengorbankan tiga nyawa.

Terbaru, insiden sama menimpa tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Honda Accord awal pagi ini mengakibatkan dua daripada mereka terbunuh, manakala seorang lagi parah.

Dalam kejadian pukul 3.45 pagi, dua mangsa yang terbunuh adalah lelaki warga asing, salah seorang disahkan berasal dari Calgary di Alberta, Kanada, manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya.

Dalam kedua-dua kemalangan tersebut, kenderaan dinaiki mangsa hilang kawalan sebaik sahaja tiba di selekoh persimpangan jalan terbabit sebelum terbabas dan terjunam ke dalam sungai mengakibatkan mangsa mati lemas.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, dalam kejadian pagi ini, tiga lelaki terbabit dalam perjalanan dari arah Jalan Sultan Ismail menuju ke Jalan Munshi Abdullah apabila kereta mereka hilang kawalan sebelum merempuh palang besi penghadang jambatan sungai itu.

"Kereta Honda Accord tersebut kemudian terjunam dan terbalik dalam sungai menyebabkan ketiga-tiga mangsa terperangkap.

"Dua mangsa iaitu seorang lelaki Kanada, Jason Price Krull, 28, dan seorang rakannya juga lelaki Eropah yang belum dikenal pasti identitinya mati dipercayai akibat lemas selepas terperangkap dalam kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kes pertama berlaku pada 9 Mei lalu melibatkan sebuah kereta jenis BMW dinaiki tiga wanita yang terhumban ke dalam sungai itu dan meragut nyawa seorang daripada mereka.

Sementara itu, Abdullah berkata, dalam insiden pagi ini, seorang pelajar lelaki tempatan berusia 20 tahun yang turut menaiki kereta itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kemalangan.

Beliau berkata, pelajar berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan lanjut tetapi masih berada dalam keadaan tenat.

Katanya, mayat dua mangsa yang maut pula dihantar ke HKL untuk dibedah siasat dan polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: Utusan Malaysia
              tv3.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my