loading...
Wednesday, January 30, 2013
Murid tahun 2 digilis lori
30 Januari 2013
LAHAD DATU: Seorang murid tahun 2 Sekolah Kebangsaan Pekan 3 Daerah Lahad Datu, maut selepas digilir sebuah lori 10 tan yang mengundur, dalam satu kejadian ngeri di hadapan simpang Limbungan Sepanggar Shipyard, Jalan Pelabuhan Lahad Datu, di sini, pagi kelmarin.
Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 10.45 pagi ketika pemandu lori terbabit dikatakan sedang mengundurkan kenderaannya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Syarif Junior Langbas Julhussin, 8, meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala.
Pemandu lori terbabit yang identitinya belum dikenal pasti telah melarikan diri selepas kejadian itu.
Bapa mangsa, Julhussin Ula, 36, bersama isterinya, Salabiah Sampang, 36, ketika ditemui di Ibu Pejabat Daerah Lahad Datu berkata mereka amat terkejut selepas menerima berita mengenai kejadian yang menimpa anak mereka itu.
“Buat masa kini, kami hanya mampu menyerahkan kes ini kepada polis agar mereka menyiasat perkara itu secara terperinci, dan berharap dapat menangkap orang yang bertanggungjawab di atas kejadian itu dengan segera supaya tindakan undang-undang dapat diambil ke atas pemandu lori itu,” katanya dengan nada sedih.
“Dia anak yang baik dan selalu mendengar nasihat orang tua,” katanya, sambil menyatakan kemalangan yang berlaku itu amat pahit bagi mereka.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Supt Shamsudin Mat, ketika dihubungi berkata siasatan awal pihaknya di tempat kejadian mendapati kemalangan itu berpunca daripada pemandu lori terbabit yang dikatakan pada masa itu sedang mengundurkan kenderaannya bagi membantu mengalihkan sebuah lagi lori yang rosak dan berada di perantaraan jalan dua hala di lokasi itu.
“Kita tidak menolak berkemungkinan pemandu lori terbabit tidak dapat melihat kelibat mangsa yang pada ketika itu dipercayai telah berdiri di bahagian belakang lori berkenaan.
“Ini kerana dengan susuk tubuh mangsa yang bersaiz kecil sememangnya menyukarkan bagi pemandu lori itu sendiri untuk menyedari kehadiran mangsa yang berdiri di belakang lorinya,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar lori itu berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat sebelum dikejarkan ke Hospital Daerah Lahad Datu bedah siasat.
Katanya, pihak polis masih meneruskan siasatan kejadian itu secara lebih terperinci, sekaligus mengesan pemandu terbabit dalam tempoh terdekat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shamsudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan atau menghubungi bilik gerakan di talian 089-881255 bagi menyalurkan sebarang maklumat mengenainya.
Sumber:
theborneopost.com/2013/01/29/murid-tahun-dua-maut-digilis-lori-mengundur/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment