1 Februari 2013
IPOH – Seorang pemandu dan penumpang van serta seorang penunggang motosikal terbunuh dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Simpang Pulai dan Lahat di sini, semalam.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kemalangan pertama membabitkan dua jurujual apabila van yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari di Kilometer 40, Jalan Keramat Pulai dekat Cameron Highland ketika menuju ke Ipoh.
“Mangsa, Chong Wei Khong, 34, yang berasal dari Taman Ipoh Timur manakala penumpangnya, Lee Wing Leong, 34, dari Kampung Kepayang maut di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala.
“Dipercayai van dinaiki mangsa cuba memotong kenderaan lain lalu bertembung dengan sebuah lori tanpa muatan dari arah bertentangan di selekoh jalan terbabit.
“Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dipanggil untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dibahagian pemandu dan penumpang van,” katanya.
Wan Sharuddin berkata, pemandu lori berusia 30-an dan berasal dari Bentong, Pahang hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, katanya, dalam kejadian kedua, seorang lelaki maut apabila motosikalnya merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Hilux setibanya di lokasi kejadian di Jalan Leong Boon Swee di Lahat.
“Dalam kejadian jam 11.15 pagi itu, pemandu MPV berusia 28 tahun terkejut apabila mendengar rempuhan kuat dibelakang kenderaannya ketika dalam perjalanan dari Kampar.
“Mangsa, Yip Choon Phak, 49, dari Taman Sri Rapat dan bekerja sebagai pembantu kedai kereta cedera parah di bahagian kepala dipercayai tidak sempat brek sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Wan Sharuddin berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Kedua-dua kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/tiga-maut-nahas-berasingan-1.127125
No comments:
Post a Comment