Inalillahi wainailaihi rojiun
1 Februari 2013
TAMPIN – Seorang remaja maut dan seorang lagi cedera parah selepas motosikal ditunggangi mereka terlibat dalam dua kemalangan berasingan dipercayai langgar lari dalam tempoh tidak sampai tiga jam, dekat sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian pertama kira-kira jam 7.30 malam di kilometer 26, Jalan Tampin-Gemas, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang Liau Lok Chong, 18, dari arah Gemas ke Tampin dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan jenis motorjip.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
“Berdasarkan siasatan awal, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan kenderaan tersebut yang mana hingga kini (jam 1.00 petang), pihak berkenaan belum tampil membuat laporan polis.
“Saksi kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada Sarjan Abdul Karim Hasan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.
Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kedua kira-kira jam 10.30 malam di kilometer 15, Jalan Gemas-Rompin, mangsa Hazizul Abdul Khalid, 16, maut di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala.
Bagaimanapun katanya, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang mangsa tidak ditemui di tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan awal, terdapat dua jalur kesan tayar di lokasi kejadian dipercayai kesan brek dari kenderaan jenis bas atau lori.
“Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Riduan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa yang maut, Abdul Khalid Sulaiman, 54, dari Felda Pasir Besar berkata, dia berasa sangat terkejut apabila mengetahui anaknya terbabit dalam kemalangan dan bergegas ke lokasi kejadian.
“Sedih bila lihat keadaan anak pakcik dan di lokasi kejadian hanya terdapat arwah, serpihan nombor plat motosikal serta dua pasang selipar warna hitam dan kuning,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), dekat sini, semalam.
Katanya, sejak tiga hari kebelakangan ini, perasaan simpati menular dalam hatinya apabila terpandang wajah anaknya itu.
“Pada malam kejadian, anak ketujuh saya ini sempat makan bersama ibunya dan sekitar jam 10.00 malam, arwah yang menunggang motosikal Honda EX5 yang dipinjam daripada rakannya meminta izin untuk keluar sebentar.
“Jenazahnya bakal dikebumikan di Felda Pasir Besar, Gemas,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/remaja-maut-dilanggar-lari-1.127233
No comments:
Post a Comment