loading...
Wednesday, March 20, 2013
Guru tadika maut kemalangan
Inalillahi wainailaihi rojiun
20 Mac 2013
LENGGONG - Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di kilometer 53.3 Jalan Kuala Kangsar - Gerik dekat Selat Pagar, di sini, pagi semalam.
Mangsa, Norhafizah Adam, 40, yang memandu kereta Proton Wira dipercayai dalam perjalanan dari Gerik ke Lenggong sebelum bertembung dengan MPV Toyota Avanza yang dipandu Nor Ta’qa Zainudin, 20, yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Abdul Manab Baharum berkata, dalam kejadian yang berlaku berlaku jam 8 pagi itu, mangsa yang juga guru tadika Kemas dikatakan memandu seorang diri.
“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Nor Ta’qa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di laluan bertentangan menyebabkan kenderaannya bertembung dengan kereta yang dipandu mangsa.
“Akibat rempuhan tersebut, pemandu kereta Proton Wira maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah dibahagian kepala dan mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk dibedah siasat.
“Pemandu Toyota Avanza turut mengalami cedera parah dan turut dihantar ke hospital yang sama untuk mendapat rawatan.
“Mangsa yang maut dipercayai akibat kecederaan dalaman dan kes tersebut disiasat di bawah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong, Wan Ahmad Izuwan berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.12 pagi sebelum tiba dilokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Seramai enam anggota dan satu jentera bergegas ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Kami menggunakan peralatan menyelamat (rescue tool) untuk mengeluarkan badan mangsa dari tempat duduknya yang mengambil masa kira-kira 15 minit.
Saiz badan mangsa yang agak besar dan kecederaan yang dialami mangsa menyebabkan kerja menyelamat perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil masa sedikit,” katanya.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sementara pemandu kenderaan Toyota Avanza mengalami cedera parah turut dikeluarkan oleh anggota penyelamat.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/guru-tadika-maut-kemalangan-1.141326
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment