loading...
Thursday, March 21, 2013
Maut bersama jiran
Inalillahi wainailaihi rojiun
21 Mac 2013
SUNGAI SIPUT - Niat murni sepasang suami isteri membantu menghantar jiran mendapat rawatan susulan di Ipoh berakhir tragedi apabila ketiga-tiga mereka maut dalam satu kemalangan membabitkan kereta dan treler di Kilometer 41.3 berhampiran Kampung Setia Salak Baru di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, pemandu kereta, Romlan Ros Abdul Bakar, 52, dan isterinya, Haniza Hussin, 46, serta jiran mereka Mohd Ridzuan Mohd Nor, 55, meninggal dunia di tempat kejadian setelah kenderaan jenis Proton Iswara Aeroback yang dinaiki bertembung dengan treler membawa muatan pencawang yang datang dari arah bertentangan.
Kesemua mangsa yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Sungai Siput (HSS) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Bersia, Gerik, semalam.
Manakala isteri kepada Mohd Ridzuan, Zaharah Abdullah, 52, yang cedera parah di pinggang dan di dada kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan.
Menurut anak ketiga Romlan Ros dan Haniza, Mohammad Anuwaruddin, 22, kedua-dua ibu bapanya bergerak dari rumah mereka di Felda Bersia, Gerik lebih kurang jam 5.30 petang kelmarin bersama jiran mereka itu.
Katanya, Mohd Ridzuan yang juga rakan baik kepada bapanya tidak mampu memandu sendiri untuk ke rumah anaknya di Ipoh bagi mendapat rawatan susulan selepas menjalani pembedahan empat jari kaki kanan akibat penyakit kencing manis.
“Sebelum ini, jika ingin berjalan jauh, mereka (Romlan Ros dan Haniza) pasti akan sewa van dan saya sendiri pandu kenderaan tersebut.
"Namun entah mengapa bapa saya membuat keputusan untuk memandu sendiri dari Gerik menuju ke Ipoh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSS di sini, semalam.
Dia yang bakal melangsungkan konvokesyen pada April ini selepas tamat dalam pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Ungku Omar (PUO) turut sedih kerana tidak dapat berkongsi kejayaan bersama ibu bapa tercinta.
Mohammad Anuwaruddin berkata, bapanya yang bekerja sebagai pemandu bas sekolah di Gerik adalah bekas tentera yang berperwatakan tegas manakala ibunya yang juga pengasuh kanak-kanak adalah seorang yang penyayang.
Sempat ziarah anak
Dalam perkembangan berkaitan, anak sulung Mohd Ridzuan, Nurfazila, 30, berkata, arwah bapanya yang menjalani pembedahan beberapa bulan lalu di sebuah hospital swasta masih dalam keadaan kurang sihat dan bergantung pada ubat saban hari.
Menurutnya yang menetap di Bukit Jambul, Pulau Pinang, kedua ibu bapanya baru sahaja melawat mereka sekeluarga minggu lalu.
“Malah, saya kerap menghubunginya bertanya khabar kerana ayah sering tidak sihat selepas pembedahan tersebut.
“Ayah yang bertugas di Lembaga Air Perak masih diberi cuti sakit sehingga benar-benar pulih,” katanya yang mengetahui mengenai kemalangan itu daripada ahli keluarganya jam 11 malam.
Nurfazila berkata, dia bergegas ke Ipoh untuk melihat keadaan ibunya yang ditempatkan di HRPB sebelum ke HSS untuk melihat jenazah bapanya.
“Ibu masih ditempatkan di wad HRPB dan keadaannya kritikal. Saya hanya mampu berdoa semoga dia boleh diselamatkan,” katanya.
Siasatan masih diteruskan
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput Superintendan Azman Salim berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback yang dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Gerik menghala ke Ipoh secara tiba-tiba memasuki laluan treler membawa muatan besi pencawang yang datang dari arah bertentangan.
“Akibatnya, kedua-dua kenderaan bertembung secara berhadapan sebelum kereta tersebut diseret treler ke kiri jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang tersepit di dalam kenderaan tersebut dikeluarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Siput sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
“Tiga daripada mangsa maut di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke HRPB. Kami sudah ambil keterangan pemandu treler dan polis akan menyiasat punca sebenar kejadian,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/niat-bantu-jiran-berakhir-tragedi-1.141603
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment