Friday, August 30, 2013

Niat Murni Bertukar Tragedi



Inalillahi wainailaihi rojiun

30 Ogos 2013
AMPANG JAYA - Seorang kakitangan wanita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) Sepang, maut selepas diragut di hadapan pos pengawal keselamatan sebuah kondominium di Taman Cempaka Ampang, di sini, semalam.


Sebelum kejadian berlaku kira-kira jam 2.45 pagi, mangsa, Shahrinawati Abu Bakar, 30, baru pulang dari kerja dan sedang berjalan kaki masuk ke kondominium terbabit.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, bagaimanapun mangsa tiba-tiba dihampiri dua lelaki bermotosikal yang cuba meragutnya.

Beliau berkata, berlaku pergelutan antara mereka, sebelum datang dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun menaiki kereta jenis Proton Wira cuba memberi bantuan.

"Mereka sebenarnya sudah terlajak ke hadapan, namun kerana niat mahu membantu, pemandu kereta bertindak mengundur laju untuk melanggar dua suspek yang cuba meragut mangsa.

"Seorang daripada suspek terjatuh, namun sempat bangun dan melarikan diri bersama rakannya dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC warna hitam," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, semalam.

Amiruddin berkata, kedua-dua lelaki yang cuba menyelamatkan mangsa kemudiannya turun untuk melihat wanita itu, namun menyedari mereka secara tidak sengaja turut melanggar mangsa terbabit.

"Mereka terus membawa mangsa ke sebuah hospital swasta berdekatan untuk rawatan lanjut, namun mangsa disahkan meninggal dunia," katanya.

Katanya, polis sudah meneliti kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pos pengawal keselamatan dan memperoleh beberapa petunjuk yang dipercayai boleh membantu siasatan.

Menurutnya, polis sudah mengenalpasti dua lelaki berusia 20-an yang cuba meragut mangsa, namun rakaman CCTV gagal mengesan nombor pendaftaran motosikal yang digunakan kerana imej kurang jelas.

Beliau berkata, polis sudah merakamkan lima percakapan termasuk dua lelaki yang membantu mangsa berasal dari Sarawak itu. Difahamkan mangsa sudah bertunang dan dijangka melangsungkan perkahwinan pada Disember nanti.

Amiruddin berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan laporan mendapati kecederaan mangsa konsisten dengan impak akibat kemalangan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 394 kanun Keseksaan kerana rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1941.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/hasrat-membantu-mangsa-ragut-bertukar-tragedi-1.196899
hmetro.com.my/articles/Tragediniatmurni//Article



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount