Inalillahi wainailaihi rojiun
1 September 2013
KEMAMAN – “Semalam makcik lihat Nizam tenung dan bersihkan motosikal ayahnya tapi kami tak sangka dia 'pergi' semasa menunggang motosikal ini," kata ibu pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Ayer Puteh, Che Wan Dalillah Che Wan Sulaiman, 52.
Mohammad Shahrul Nizam Remly, 15, yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2 Oktober depan, maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaikinya terbabas sebelum merempuh sebuah kereta di Jalan Chukai – Air Putih, dekat Kampung Paman, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang lebih mesra dipanggil Nizam dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Dadong dari Chukai, selepas menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di rumah rakannya.
Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan topi keledar dipakainya pecah serta tercabut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Che Wan Dalillah berkata, anaknya itu keluar dari rumah kira-kira jam 9.30 pagi selepas meminta keizinan daripadanya dan suami untuk pergi ke rumah rakannya.
“Ketika mahu keluar rumah, Nizam ada minta duit belanja RM2 dengan makcik, tapi sebab waktu itu makcik sedang masak di dapur, makcik suruhnya minta dengan ayahnya yang sedang baca surat khabar di ruang tamu.
“Semasa bercakap dengannya makcik tak pandang wajahnya sebab sibuk memasak. Arwah seorang anak yang baik dan makcik reda dengan ujian ini,” katanya sebak ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik, Hospital Kemaman.
Menurutnya, sebelum anak kesembilan mereka itu keluar rumah, lidah suaminya, Remly Bakar, 52, seakan kelu untuk melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana kebiasaannya suaminya menegah anaknya menaiki motosikal.
Malah, malam sebelum kejadian itu, arwah turut berperangai ganjil apabila memberitahu kakaknya, Nor Farhana, 21, yang dia mahu berhenti sekolah dan bekerja bagi membantu membiayai pengajian kakak-kakaknya yang menuntut di universiti.
“Pada malam itu juga, dia tidur setilam sambil memeluk erat adik bongsunya, Arif Abidin, 7. Sebelum musibah ini terjadi, kami sekeluarga gembira kerana salah seorang kakak arwah, Nor Suhaila, 20, akan mendaftar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), esok,” katanya.
Motosikal mangsa melambung
Sementara itu, kemalangan itu dipercayai berpunca apabila motosikal mangsa melambung sebelum hilang kawalan, selepas melalui jalan yang permukaannya tidak rata sebelum melanggar bahagian kanan kereta seorang warga emas, Razak Mat Shah, 65 yang dari arah bertentangan.
Razak yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari kebun getahnya di Batu 16 menuju ke rumahnya di Binjai berkata, sejurus dilanggar, kereta dipandunya berpusing-pusing beberapa kali kerana kedua-dua tayar bahagian kanan kenderaannya itu pecah.
“Namun saya bersyukur kerana tidak cedera. Sekarang dada masih berdebar-debar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dadong.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/calon-pmr-mahu-berhenti-sekolah-1.197460
No comments:
Post a Comment