loading...

Saturday, August 18, 2012

38 laluan maut


18 Ogos 2012 
IPOH – Sebanyak 38 lokasi panas di sekitar negeri ini dikenal pasti sebagai laluan maut apabila dikesan sering meragut nyawa pengguna jalan raya.

Antara laluannya ialah Jalan Ipoh-Lumut, Jalan Ipoh-Simpang Pulai, Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang, Jalan Teluk Intan-Bidor, Jalan Sitiawan-Teluk Intan, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, Jalan Pengkalan Hulu-Gerik dan Jalan Ipoh-Gerik.

Turut dikenal pasti ialah Jalan Ipoh-Butterworth, Jalan Ipoh-Gerik dan Jalan Raya Timur Barat terutama di Kilometer 29-33.8 (Bukit Jala dan Pukat berhampiran Kem Tentera), Kilometer 47-48 Rancangan Penempatan Semula Air Banun dan Kilometer 55-56 jalan sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, semua laluan berkenaan dikenal pasti melalui rekod kemalangan yang dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.

Menurutnya, aliran trafik dijangka sesak sepanjang tempoh cuti perayaan ini, justeru  pengguna jalan raya yang bercadang untuk pulang beraya dinasihatkan supaya berhati-hati melalui lokasi tersebut.

“Sepanjang laluan berkenaan, kita menyediakan kanopi bagi menempatkan anggota dan pegawai yang bertugas bagi mengurangkan kesesakan berlaku.

“Bagaimanapun, kita meminta kerjasama orang ramai terutama pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan lalu lintas serta berhati-hati dalam perjalanan bagi mengelak sebarang risiko kemalangan,” katanya.

Katanya, sejumlah 940 anggota dan pegawai polis dari Kontinjen Perak akan bertugas sepanjang Ops Selamat dijalankan antara 12 hingga 26 Ogos ini.

“Dalam pada itu, seramai 360 anggota dan pegawai trafik akan bertugas setiap hari membabitkan 60 kenderaan peronda polis yang melakukan pemantauan lalu lintas di sepanjang laluan di lebuh raya, jalan persekutuan dan bandaran bagi mengurangkan kesesakan.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Kerja Raya untuk meminimumkan penggunaan lampu isyarat.

“Beberapa kawasan lampu isyarat akan diletakkan dalam keadaan kuning dan kenderaan diminta memperlahankan pemanduan mereka. Penggunaan lampu isyarat merah tidak digunakan bagi mengelak kesesakan serius.

“Bagaimanapun, kita akan meletakkan anggota bertugas di kawasan berkenaan bagi mengelakkan kemalangan atau kesesakan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/38-laluan-maut-dipantau-1.77594


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my