loading...

Saturday, June 22, 2013

Tak sempat bersara



Inalillahi wainailaihi rojiun

23 Jun 2013
PARIT - Hasrat seorang pemandu bas bersara daripada pekerjaannya untuk bersama keluarga tidak kesampaian apabila maut selepas bas yang dipandunya terbabas dan terbalik di Jalan Ipoh-Beruas, dekat sini, semalam.


Isteri mangsa, Noraihan Mohd Yan, 49 berkata, suaminya, Ismail Ahmad, 54 pernah menyatakan hasrat untuk bersara setelah hampir 20 tahun menjadi pemandu bas.

"Arwah sepatutnya bersara tahun depan dan dia mahu cari kerja lain. Dia pernah suarakan yang dia dah penat jadi pemandu bas," katanya yang tinggal di Kampung Dendang, Beruas.

Noraihan turut memaklumkan bahawa mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian kecuali tidak banyak bercakap dalam tempoh dua, tiga hari lalu.

Menurutnya, mangsa keluar bekerja seperti biasa di hari kejadian, iaitu pada jam 6.45 pagi serta menjalani rutin yang sama seperti hari-hari biasa.

"Jam 10 pagi tadi dia singgah minum di kedai kopi di kampung kami. Memang itulah rutin hariannya sejak mula membawa bas dari Ipoh ke Beruas.

"Saya sempat minum dengan dia seperti biasa pagi tadi, namun tidak nampak sebarang perubahan ketara pada dirinya. Apapun saya reda dengan pemergiannya," katanya.

Mangsa meninggalkan seorang balu bersama empat orang anak dan jenazahnya telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dendang, semalam.

Dengar dentuman kuat

Sementara itu seorang saksi kejadian, Mazuwan Maropi, 25 ketika ditemui berkata, kejadian menyayat hati itu berlaku pada kira-kira jam 1.30 tengah hari dan dia sedang mengalihkan kereta di hadapan rumahnya di Kampung Serapoh, di sini ketika kejadian.

"Saya dengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan dan ketika saya berpaling, saya lihat sebuah bas sudah terbalik di tepi jalan, Saya segera berlari ke arah bas itu untuk membantu mereka yang berada di dalamnya.

"Sebaik sampai di situ, saya cepat-cepat tarik tingkap bas untuk membantu tiga penumpang keluar. Seorang penumpang lagi keluar melalui pintu belakang bas berkenaan," katanya menceritakan saat kejadian itu.

Menurut Mazuwan, selepas membantu semua penumpang terbabit, dia melihat mangsa (pemandu bas) tidak bergerak dan tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, melihat keadaan itu dia serta orang ramai yang berada di kawasan itu mengambil keputusan untuk menunggu polis serta bomba datang bagi mengeluarkan mangsa.

"Ini sememangnya satu pengalaman yang sukar untuk saya lupakan kerana ia berlaku betul-betul di depan mata saya," katanya.


Bas hilang kawalan

Sementara itu Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan sebuah bas yang telah hilang kawalan lalu terbalik di kilometer 42 jalan Ipoh-Beruas.

Menurutnya, bas berkenaan datang dari arah Ipoh menuju ke Beruas dan gagal dikawal ketika mengambil selekoh di Kampung Serapoh, menyebabkan ia terbalik ke sebelah kiri jalan dan bumbung bas remuk.

"Kejadian itu telah menyebabkan pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu dan meninggal dunia di tempat kejadian. Empat penumpang bas berkenaan hanya mengalami luka ringan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga mangsa bagi urusan pengebumian," katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/perak/hasrat-bersara-tak-kesampaian-1.174528



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my