loading...
Monday, June 17, 2013
Pantang maut sebelum ajal
17 Jun 2013
BAGAN SERAI - Seorang lelaki tidak menyangka nyawanya masih panjang walaupun tercampak keluar dari kenderaannya sejauh 50 meter dan terhumban ke dalam sebuah parit selepas terbabit dengan satu kejadian kemalangan di Jalan Sungai Rawa, kelmarin.
Saksi kejadian, Ramli Hasan,42, berkata, dalam kejadian jam 8.15 malam, dia sedang minum di sebuah kedai makan berhampiran lokasi kejadian sebelum melihat insiden perlanggaran sebuah van kilang dengan sebuah kereta jenis Proton Saga.
Menurutnya, kesan perlanggaran kuat itu turut menyebabkan pemandu kereta berkenaan tercampak keluar dari cermin hadapan sejauh 50 meter sebelum terhumban ke dalam sebuah parit di kawasan berhampiran.
“Susulan melihat insiden itu, saya bersama beberapa orang awam lain bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat keadaan pemandu kereta yang pada mulanya disangka sudah menemui ajal.
“Bagaimanapun, kami bersyukur melihat keadaan pemandu terbabit masih hidup walaupun mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan segera menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk pertolongan kecemasan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, jurucakap Bahagian Latihan dan Operasi JPAM Daerah Kerian, B Sugumaran ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan awam lebih kurang jam 8.30 malam dan tiba di lokasi kejadian lebih kurang 15 minit selepas itu.
Menurutnya, petugas JPAM mengenal pasti mangsa yang tercampak dikenali R Muniandy,45, sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pekan Parit Buntar dari arah Taiping.
“Berdasarkan maklumat awam, JPAM difahamkan van kilang yang sedang dalam perjalanan ke Bagan Serai dari arah kawasan perindustrian Parit Buntar cuba memotong sebuah kenderaan namun gagal melepasinya sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.
“Pemandu van kilang terbabit tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun mangsa mengalami patah kedua-dua belah kaki.
“Berikutan itu, petugas JPAM diketuai Mohamad Saparizal bertindak membalut dan memasang alat penyokong kaki pada mangsa dan seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut,”katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/perak/pantang-maut-sebelum-ajal-1.172129
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment