loading...
Sunday, June 16, 2013
3 termasuk 2 beranak maut kemalangan
16 Jun 2013
Padang Besar: Hasrat seorang ibu membawa anak bongsu menemaninya ke tempat kerja mengundang padah apabila dua beranak itu dan seorang remaja lelaki maut selepas dua motosikal bertembung dalam kemalangan ngeri, malam kelmarin.
Kejadian jam 8.30 malam di Kilometer 16 Jalan Guar Nangka, di sini, menyebabkan Chen Cha Cha, 35, bersama anak lelakinya, Chuah Zheng Zhang, 7, dan remaja terbabit, Mohd Affendi Halim, 19, mati serta-merta di tempat kejadian.
Kedua-dua motosikal berkenaan juga ‘melekat’ dalam keadaan remuk selepas bertembung secara berdepan.
Suami Cha Cha, Chuah Poh Hwa, 42, dari Kampung Baru Pauh, Arau, berkata, isterinya bekerja di kedai jahit milik ibu mentuanya di Beseri. Dia turut membawa anak bongsu daripada tiga beradik itu berikutan kanak-kanak berkenaan mahu mengikutinya.
“Sebelum ini, isteri tak pernah bawa anak bongsu ke tempat kerjanya kecuali hari ini (kelmarin) selepas Zheng Zhang berkeras mahu mengikutnya ke tempat kerjanya.
“Isteri tiada pilihan dan terpaksa membawanya bersama dengan meninggalkan dua lagi anak perempuan kami berusia 11 dan sembilan tahun di rumah,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan adik iparnya jam 8.45 malam dan pada mulanya berasa isterinya hanya terbabit dalam kemalangan biasa.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, dia terkejut dan sedih melihat isteri serta anak bongsunya maut di tempat kejadian dalam keadaan mengerikan.
Sementara itu, abang kepada Mohd Affendi, Mohd Faizul Halim, 21, berkata, adiknya ketika itu baru selesai makan malam di rumahnya di Kampung Guar Nangka, di sini, sebelum mahu pergi semula ke tempat kerjanya di Kilang Gula Felda Chuping.
“Kebiasaannya adik bekerja pada syif malam, namun pada hari kejadian dia bekerja pada syif petang dari jam 3 petang hingga 11 malam.
“Dia pulang jam 8 malam (kelmarin) untuk makan malam bersama saya yang juga bekerja di kilang sama sebelum pergi bekerja semula sejurus selepas itu,” katanya.
Katanya, sebaik keluar dari rumah tidak sampai 10 minit, dia mendapat maklumat adiknya terbabit dalam kemalangan dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros berkata, dalam kejadian itu Mohd Affendi datang dari arah Guar Nangka menghala ke Bukit Keteri, manakala Cha Cha dan anaknya dari arah Bukit Keteri.
“Polis difahamkan, ketika itu seorang daripada mangsa yang menunggang motosikal cuba memotong sebuah treler tanpa menyedari kehadiran sebuah lagi motosikal dari arah depan.
“Akibatnya, kedua-dua motosikal yang dipandu laju bertembung secara berdepan, menyebabkan ia remuk di tengah-tengah jalan berdekatan Kampung Chelom, di sini,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua topi keledar dipakai Cha Cha dan Mohd Affendi hancur, manakala kanak-kanak terbabit pula tidak memakai topi keledar.
Katanya, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kematian.
Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perjalananmaut2beranak/MA/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment