loading...
Thursday, February 7, 2013
Peniaga burger bakar maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
7 Februari 2013
Ledang: Seorang peniaga burger bakar dan otak-otak maut dalam pertembungan dua kenderaan ketika mangsa dalam perjalanan mengambil bahan mentah perniagaannya dekat Bukit Kangkar di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian di Batu 10 Jalan Muar-Tangkak kira-kira jam 5.15 petang itu, mangsa Muhamad Farid Khalid, 31, dari Jalan Naib Long, Tangkak, meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Memandu sendirian
Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata mangsa yang memandu sendirian kereta PROTON Iswara dalam perjalanan dari Tangkak ke Muar untuk mengambil bekalan jualan di Kesang.
“Ketika tiba di lokasi, kereta dipandu mangsa bertembung kenderaan serba guna (MPV) dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba memasuki laluan dipandu Farid.
“Pertembungan dua kenderaan itu menyebabkan kereta mangsa remuk di bahagian depan dengan mangsa tersepit pada tempat duduk pemandu.
“Pemandu MPV yang juga guru berusia 46 tahun dari Tangkak terselamat tetapi patah tangan kanan.
“Difahamkan, ketika kejadian guru terbabit dalam perjalanan pulang ke rumah, selepas mengambil surat pelantikan kenaikan pangkat di Muar, ” katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan cuaca hujan dan faktor jalan licin dipercayai menyebabkan kemalangan.
Katanya, mayat Farid dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kontang, Tangkak.
“Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Peniagaburgerbakarmautnahas/Article
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment