loading...

Wednesday, February 6, 2013

Remaja maut jatuh treler



6 Februari 2013
ALOR GAJAH - Seorang pekerja maut selepas terjatuh dari treler yang dibaiki di sebuah bengkel Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Sebang, di sini, pagi semalam.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, V Pannir Selvam, 17, dipercayai terjatuh ketika sedang membaiki pengadang treler berkenaan bersama beberapa pekerja lain.

Bapa mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat itu, P Varsu, 53, berkata, dia hanya menyedari kejadian berkenaan selepas terdengar kekecohan di kawasan membaiki kenderaan.

"Selepas mendengar ada pekerja terjatuh, saya terus berlari ke arah treler berkenaan dan terkejut apabila diberitahu anak saya yang terjatuh.

"Ketika itu, saya melihat Pannir terbaring di atas jalan di bahagian tepi hadapan treler dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dihantar ke Hospital Tampin dan disahkan meninggal dunia," katanya.

Menurutnya, Pannir adalah anak bongsu dari enam beradik dan mempunyai penyakit asma.

"Saya tidak pasti sama ada Pannir diserang asma ketika kejadian kerana sebelum itu dia kelihatan sihat," katanya.

Katanya, anaknya baru 16 hari bekerja di situ dan setiap hari mereka pergi kerja bersama, namun lebih awal kerana dia bertugas pada jam 6 pagi.

Rakan sekerja mangsa yang ingin dikenali, Jimiey, 30-an, berkata, beberapa hari sebelum kejadian, mangsa ada mengadu tidak sihat dan dilihat suka bersendirian.

“Saya dan rakan lain tidak menegur perubahannya kerana menganggap dia masih cuba menyesuaikan diri di tempat kerja baru," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa dibawa ke Hospital Tampin oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia.

“Difahamkan, mangsa terjatuh ketika membaiki pengadang treler yang digunakan untuk membawa muatan simen.

"Mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Tampin sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan hasil bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/maut-terjatuh-dari-treler-1.128769




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my