loading...

Friday, February 8, 2013

Nahas 4 kenderaan


9 Februari 2013
KAMPUNG NYIOR, Dungun - Hasrat lapan sekeluarga menghabiskan masa cuti hujung minggu ke zoo terbantut apabila kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan di jambatan sempit Kampung Nyior, dekat sini, pagi semalam.

Kemalangan di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan pada jam 7 pagi itu dipercayai berlaku ketika keluarga Mohd Aridi Mohd Nor, 32, bersama tujuh lagi ahli keluarga lain termasuk isteri, Siti Zaila Wan Suhaimi, 27, dalam perjalanan dari Melor, Kelantan menuju ke Kemaman.

Kemalangan dikatakan berlaku apabila pacuan empat roda dipandu Mohd Aridi dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan dipercayai bergesel dengan sebuah teksi sebelum bergesel dengan sebuah Proton Wira Aeroback, masing-masing dari arah bertentangan lalu bergesel sekali lagi dengan van Nissan Vannete dari arah sama.

Mohd Aridi yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ketika itu, dia sekeluarga dalam perjalanan ke Zoo Kemaman untuk membawa ahli keluarganya bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.

Katanya, ketika kejadian, dia yang bertolak dari Kelantan malam sebelum kejadian sedang berbual-bual dengan isterinya yang duduk di tempat duduk hadapan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Troopers itu.

“Sebaik sampai di jambatan itu, saya rasa dirempuh oleh sebuah kenderaan.

“Kereta saya hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan lain sebelum terbabas,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Enam lagi penumpang lain termasuk isteri dan tiga anaknya, Mohd Afis Zakira, 7, Nur Aishah, 4, dan Marlisha, 3, selain Nurhanita Farahida, 16, Saudah Abdullah, 60, dan Nurlida Mohd Nor, 45, juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun pemandu teksi Proton Wira, Mohamad Zaki Massenu, 61, cedera parah selepas tersepit dalam kenderaan sebelum dikeluarkan pasukan penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian sebaik menerima maklumat berkaitan kemalangan terbabit.

Mohamad Zaki yang berasal dari Kampung Hilir, Kuala Terengganu bagaimanapun dilaporkan stabil.

Pemandu Nissan Vannete, Marzuki Mohd, 38, seorang peniaga pasar tani serta dua penumpang termasuk seorang anak perempuannya, Siti Norhanim Mohd, 19, dan Mohd Shukri Aiman, 16, cedera ringan. Ketika kejadian, Marzuki yang keluar dari rumah di Jalan Melati, Dungun kira-kira jam 6.30 pagi difahamkan dalam perjalanan ke pasar tani Kerteh.

Seorang lagi mangsa, pemandu Proton Wira Aeroback, Azmi Awang, 40, kakitangan sebuah syarikat di pelabuhan Kemaman yang dalam perjalanan ke Kuala Terengganu juga cedera ringan.

Semua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan. Polis masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan terbabit.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/nahas-babit-empat-kenderaan-1.129669


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my