loading...
Monday, February 4, 2013
Maut dirempuh lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
5 Februari 2013
KUANTAN - Seorang penunggang maut manakala isterinya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dalam perjalanan ke tempat kerja dirempuh sebuah lori yang terbabas selepas bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Kuantan-Gambang dekat Tanah Putih di sini, semalam.
Dalam nahas kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Mohd Saidi Mahmud, 44 dari Jalan Lim Hoe Lek di sini cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Isterinya yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk menerima rawatan.
Pemandu kereta jenis Proton Waja cedera ringan walaupun kereta yang dipandunya berpusing beberapa kali manakala pemandu lori difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Pemandu kereta yang hanya dikenal sebagai Tan, 40-an berkata, ketika itu dia dalam perjalanan dari arah Kuantan dan berada di laluan lorong kanan.
Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, lori dua tan membawa muatan kelapa yang berada di lorong kiri tiba-tiba memasuki laluannya menyebabkan kedua-dua kenderaan bergesel.
“Akibat kejadian, kereta saya berpusing beberapa kali sebelum berhenti dalam keadaan menghala ke Kuantan kembali.
“Lori tersebut tersasar ke kiri jalan dan mungkin ketika itu motosikal mangsa kena langgar dan diseret beberapa meter,” katanya.
Tan berkata, dia hanya menyedari kejadian yang menimpa pasangan suami isteri itu selepas turun dari kereta.
“Saya terkejut bila melihat darah mengalir daripada kedua-dua mangsa yang terbaring dalam jarak kira-kira lima meter antara satu sama lain.
“Saya tidak sanggup melihat keadaan mayat mangsa lelaki kerana kepalanya cedera teruk,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, seorang penyelia syarikat pembersihan yang hanya dikenal sebagai Faisal berkata, pasangan suami isteri itu bekerja sebagai pembersih longkang di bawah kontraktor yang dilantik syarikat terbabit.
Menurutnya, ketika kejadian, kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Batu 6, Jalan Kuantan-Gambang.
“Saya menerima panggi-lan berhubung kejadian yang menimpa mereka lalu segera ke tempat kejadian untuk membantu.
“Ketika sampai di sini tadi (semalam) kedua-dua mangsa terbaring manakala Mohd Saidi disahkan sudah meninggal dunia,”katanya.
Faisal berkata, salah seorang keluarga mangsa (abang) hanya dapat dihubungi kira-kira jam 11 pagi untuk memaklumkan kejadian menimpa mangsa dan isterinya itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi petang semalam mengesahkan menerima laporan berhubung nahas yang meragut nyawa penunggang itu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal pihaknya, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton waja dari arah Kuantan terlanggar belakang lori menyebabkan berlaku pergeselan.
“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri itu.
“Polis tidak menolak kemungkinan kejadian turut berpunca daripada permukaan jalan yang licin kerana ketika kejadian hujan renyai-renyai,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/maut-dirempuh-lori-1.128248
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment