Inalillahi wainailaihi rojiun
21 Januari 2013
MUAR – Kejadian menyayat hati terpaksa dilalui sebuah keluarga yang kehilangan anak berusia lima tahun yang maut akibat dihempap tayar treler yang dipandu bapanya dalam kemalangan di Batu 10 Jalan Pagoh-Muar di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, Mohd Afiq Amrin Mohd Yazid tercampak keluar sebelum kepalanya dihempap tayar treler yang dipercayai hilang kawalan semasa membelok selekoh sebelum terbalik dan memasuki parit.
Bagaimanapun, keluarga kanak-kanak terbabit, Mohd Yazid Banain (bapa), 44; Suriyati Abd Rahman (ibu), 30an, Nur Damia Batrisya (kakak), 6, terselamat, tetapi mengalami kecederaan di beberapa bahagian anggota badan.
Pegawai Bomba Kanan 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Razali Ismail berkata, ketika tiba di tempat kejadian bersama satu jentera dan tujuh anggota, tiga mangsa masih berada di dalam treler kecuali Mohd Afiq Amrin.
Pihaknya mengambil masa selama 20 minit untuk mengeluarkan Mohd Yazid yang tersepit di tempat duduk pemandu, manakala isteri dan anak perempuannya di bahagian tempat duduk belakang.
“Mohd Yazid patah kaki. Isteri dan anak perempuannya yang pada mulanya tidak sedarkan diri tersedar sebaik sahaja berjaya dikeluarkan.
“Kami masih menjalankan kerja untuk mengalihkan treler ini kerana dikhuatiri ada kenderaan lain di bawahnya yang terbenam dalam parit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, treler yang sarat membawa muatan papan lapis itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke daerah ini.
Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kanak-kanak-lima-tahun-maut-dihempap-tayar-treler-1.123513
hmetro.com.my/articles/Dilenyektrelerbapa//Article
No comments:
Post a Comment