loading...
Wednesday, January 23, 2013
OKU maut dirempuh motosikal
23 Januari 2013
ALOR GAJAH - Seorang warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) maut selepas motosikal jenis Suzuki RC yang ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal di jalan Taboh Naning, Simpang Ampat, di sini, kira-kira jam 12.45 tengah hari, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian itu, mangsa, Chin Teck Ming, 56, dari arah Taboh Naning menuju ke pekan Simpang tercampak selepas dirempuh dari arah belakang oleh motosikal ditunggangi, Jahmizan Md Amin, 36.
Jahmizan berkata, ketika kejadian, dia yang bekerja di sebuah kilang di Serdang dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Tampin, Negeri Sembilan.
Menurutnya, ketika itu, motosikal dinaiki mangsa terhuyung-hayang sebelum hilang kawalan.
"Saya cuba mengelak daripada merempuh mangsa, namun gagal menyebabkan mangsa tercampak ke atas tebing jalan bersama motosikalnya manakala topi keledarnya tertanggal,” katanya.
Menurutnya, sejurus perlanggaran itu, dia bersama beberapa orang awam cuba membantu mangsa.
“Saya cuba mengejut mangsa, namun tiada tindak balas sehingga pihak polis tiba,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kemalangan berkenaan berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik dan Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/oku-maut-tercampak-1.124243
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment