Sunday, October 14, 2012

Warga emas maut digilis lori



14 Oktober 2012
MUAR – Seorang lelaki maut dalam keadaan mengerikan dengan isi perut terburai apabila digilis sebuah lori selepas terbabit dalam kemalangan di jalan pintasan berhampiran persimpangan Jalan Dato’ Haji Kosai, dekat Bakri di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, mangsa, Lee Kih Seng, 70, dari Jalan Khalidi, menunggang motosikal sendirian dari jalan pintasan Jalan Dato’ Haji Kosai menghala ke Bakri.

Malangnya, setiba di tempat kejadian dipercayai motosikal mangsa bergesel dengan sebuah lori dari arah yang sama menyebabkannya hilang kawalan lalu terjatuh di atas jalan raya sebelum digilis lori berkenaan.

Pemandu lori yang hanya mahu dikenali sebagai Zarib, 30an berkata, dia merasakan tayar belakang lori yang dipandunya  terangkat selepas terdengar seperti sesuatu merempuh belakang lori yang dipandunya.

Menurutnya, apabila melihat cermin sisi kelihatan seorang penunggang motosikal sedang digilis sebelum terseret dan tergolek di jalan raya.

“Saya tidak sedar motosikal ini dari arah mana tetapi sejurus melepasi simpang empat di jalan pintasan tersebut, kejadian itu berlaku.

“Tidak ada seorang pun yang nampak dari arah mana motosikal mangsa datang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, menyedari keadaan tersebut, dia terpaksa menghentikan lorinya di kawasan yang agak jauh kerana ketika itu, keadaan mula sesak dan mangsa dilihat sudah tidak bernyawa dengan isi perut terburai dan cebisan daging di atas jalan raya.

Zarib berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan dari Jalan Junid menuju ke Pagoh untuk mengisi batu sebelum terdengar satu bunyi di persimpangan tersebut yang merupakan simpat empat.

“Kemungkinan besar mangsa datang dari arah belakang kerana saya tidak nampak motosikal dari simpang kiri atau kanan semasa di persimpangan empat  tersebut, semuanya berlaku dengan pantas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987  dan meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/warga-emas-maut-digilis-lori-1.94399




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount