loading...

Sunday, October 14, 2012

Penuntut UMP maut rempuh lori

Inalillahi wainailaihi rojiun

14 Oktober 2012
MERSING: “Arwah isteri beria-ia mahu menjemput Nasrul (Syawal Soopar, 24,) di Kuantan kerana rakannya itu memaklumkan tiket bas untuk balik ke Kluang sudah habis.

“Tidak sangka ia berakhir dengan tragedi apabila isteri serta Nasrul meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya,” kata Jalil Ton, 48, suami kepada Maizahariah Subaha, 43, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Mersing-Endau di sini, jam 3.30 pagi semalam.


Dalam kejadian itu, kereta dipandu Nasrul yang juga penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah lori tangki dari arah Mersing.

Nasrul yang memandu kereta itu serta Maizahariah yang duduk di tempat duduk belakang meninggal dunia di lokasi kejadian. Maizahariah turut tercampak keluar dari kereta berkenaan.


Rakan Nasrul, Mohd Raffi Hasan Farook, 24, cedera parah dan dibawa ke Hospital Mersing sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. Keadaannya kini kritikal.


Bagaimanapun, pemandu lori tangki berkenaan tidak mengalami kecederaan.

Menurut Jalil, kebiasaannya, Nasrul akan pulang ke kampungnya di Bandar T6, Kluang setiap kali cuti semester dengan menunggang motosikal.


“Entah mengapa Nasrul tiba-tiba memaklumkan dia gagal mendapat tiket bas dan meminta arwah isteri menjemputnya bersama rakan di Kuantan pada tengah malam tadi (semalam).

“Arwah isteri ke sana dengan memandu Perodua Myvi berkenaan dan memaklumkan kepada saya mereka dalam perjalanan pulang.


“Bagaimanapun, saya terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan isteri terbabit dengan kemalangan. Walaupun sedih, saya reda dengan kejadian,” katanya.


Maizahariah yang bekerja sendiri meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 17 tahun manakala Nasrul, anak kedua daripada tiga beradik, bakal menamatkan pengajiannya pada 2014.


Biras Maizahariah, Siti Rohani Ejan, 39, berkata, mangsa menunjukkan perubahan bulan lalu apabila mahu bergambar bersama seluruh ahli keluarganya sedangkan sebelum ini dia memang sukar untuk diajak bergambar.


“Selepas puas bergambar, dia sempat berpesan kepada anak sulungnya supaya menjaga adik yang lain dengan baik selain memberitahu dia sayangkan semua anak serta memohon maaf kepada kami,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2mautrempuhloritangki/Article/index_html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my