loading...

Saturday, October 20, 2012

Sempat ajar mangsa mengucap


REMBAU – “Dalam keadaan cemas dan terperanjat melihat mangsa kemalangan, sepupu saya (Fahmi Abdul Rashid, 20,) sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah apabila melihat mulutnya sudah berbuih dan berdarah,” kata penduduk, Norsuhada Mohd Dom, 20, di Kampung Kundur Tengah, dekat sini, malam kelmarin.


Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa, Muhammad Amir Izzat Mohd Isnin, 15, disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban kira-kira jam 2 pagi selepas terbabit dalam kemalangan di kilometer enam, Jalan Pedas-Linggi, malam kelmarin.

Norsuhada berkata, ketika kejadian dia dan keluarganya sedang menonton televisyen dan terperanjat apabila terdengar dentuman kuat disusuli bunyi benda besar berguling-guling beberapa kali.

"Kami terperanjat dan berharap tiada perkara buruk berlaku. Sebaik tiba di lokasi kemalangan yang terletak di jalan hadapan kawasan rumah, saya lihat ada beberapa mangsa sudah keluar dari kereta berkenaan.

"Bagaimanapun ada mangsa yang tersepit dan penduduk berjaya mengeluarkan mangsa serta berusaha menenangkannya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi nahas berkenaan, malam kelmarin.

Sementara itu, Jurucakap Polis berkata, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda Jazz yang menghala ke Kundur-Linggi dipercayai gagal mengawal kenderaan lalu melanggar sebuah pondok yang berada di tepi jalan.

Menurutnya, kenderaan yang dipandu mangsa terbabas beberapa meter dari pondok berkenaan dan terbalik. 

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dikejarkan ke HTJ.

“Tiga lagi mangsa yang turut sama berada di dalam kenderaan berkenaan kini mengalami kecederaan parah dan masing-masing kini mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Dalam kejadian itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau diketuai oleh Mohd Yusoff Samad dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/sempat-ajar-mangsa-mengucap-1.96316
hmetro.com.my/articles/Matiberdentum/Article


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my