loading...

Wednesday, October 17, 2012

Lans Koperal dirempuh penyamun


17 Oktober 2012
KAJANG: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera akibat dirempuh sebuah kereta Toyota Camry yang disamun bagi mengelak sekatan polis di Batu 10, Lebuh Raya Cheras-Kajang di sini semalam.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian pada pukul 4.45 pagi, Lans Koperal Rozaili Hamid, 28, cedera di kepala, dahi, bahu dan rusuk kiri.

Bagaimanapun, selepas dirawat di Hospital Kajang Rozaili kemudian dibenarkan keluar dari hospital pada pukul 8.30 pagi pada hari sama. Akibat kecederaan itu Rozaili terpaksa menerima lapan jahitan di bahagian atas kepala sebelah kiri.

Menurut beliau, sekatan jalan itu dilakukan sebaik polis menerima maklumat daripada seorang ejen hartanah wanita yang mendakwa kenderaan Toyota Estima miliknya disamun di rumahnya di Sungai Long di sini.

Kejadian tersebut didakwa dilakukan tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Toyota Camry.

Sebelum Toyota Estima itu dilarikan, penjenayah dikatakan memecah masuk rumah ejen hartanah itu dan mengambil kunci kenderaan tersebut.

Toyota Estima yang berada di dalam kawasan rumah pemiliknya kemudian dipandu secara mengundur sebelum pintu pagar rumah mangsa dirempuh dan kenderaan itu dilarikan.

Ab. Rashid memberitahu, bertindak atas maklumat itu, polis kemudian mengerahkan tujuh anggotanya mengadakan sekatan jalan di Batu 10 bagi mengesan kenderaan milik wanita itu.

Kata beliau, selepas kira-kira 25 minit kemudian Toyota Estima tersebut muncul dengan dipandu laju oleh seorang lelaki.

Kenderaan tersebut terus memotong ke lorong sebelah kanan lalu merempuh papan tanda sekatan polis.

Selepas rempuhan itu, kenderaan tersebut tidak berhenti malah terus dipandu laju menghala ke ibu negara.

“Tidak berhenti di situ, kereta Toyota Camry dinaiki dua lelaki yang mengekori Toyota Estima tersebut turut tidak berhenti malah merempuh Rozaili,” kata beliau.

Rozaili ketika itu tidak sempat mengelak kerana leka membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan lain.

Ab Rashid memberitahu, dalam kejadian tersebut tidak ada kenderaan lain dilanggar oleh kedua-dua kenderaan dinaiki penjenayah itu.

Polis yang menyiasat kejadian itu kemudian menemui dua buah kenderaan tesebut di Taman Orkid di sini pada pukul 5.30 pagi.

"Toyota Estima ditemui di tepat letk kenderaan awam di rumah kedai Jalan 2, Taman Orkid di sini manakala Toyota Camry itu pula ditemui di Jalan 6 di taman sama," kata beliau.

Jarak antara Taman Orkid dengan lokasi sekatan jalan di Batu 10 kira-kira 2.5 kilometer.

Siasatan polis mendapati kereta Toyota Camry yang merempuh anggota polis itu merupakan kereta yang dilaporkan dicuri dia Sungai Buloh baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ab Rashid berkata, polis kini giat memburu ketiga-tiga suspek itu dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di talian 03-8736 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu, Rozaili ketika ditemui selepas dirawat berkata, kejadian tersebut berlaku sekelip mata dan dia tidak namapak kereta Toyota Camry yang merenpuhnya.

Menurut Rozaili, pasukannya sebelum itu menerima arahan dari balai yang mengarahkan mereka mengesan sebuah Toyota Estima yang dilaporkan dicuri.

"Semasa memeriksa sebuah kereta lain dalam sekatan jalan tiba-tiba saya terdengar kawan-kawan menjerit memberitahu 'ada anggota yang kena'," katanya yang ketika itu tidak sedar bahawa dirinya yang dirempuh sehingga rebah.

Rozaili memberitahu, dia hanya menyedari dirinya cedera akibat dirempuh selepas berada di dalam ambulans untuk dihantar ke hospital.

Sumber:
utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121017/je_02/Polis-parah-dirempuh-penjenayah
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1017&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount