loading...

Monday, October 15, 2012

Pekerja malang dirempuh kereta

Inalillahi wainailaihi rojiun

15 Oktober 2012

SUNGAI PETANI – Dua pekerja membaiki jalan maut apabila dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang melakukan kerja-kerja naik taraf di Jalan Lencongan Barat Sungai Petani dalam kejadian jam 6 petang kelmarin.

Mangsa, Azrolnizam Alias, 27, dan Kamal Said, 37, maut apabila sebuah kereta yang datang dari arah Bandar Laguna Merbok ke Semeling merempuh mereka.

Difahamkan, ketika kerja-kerja naik taraf dijalankan, ada pengawal lalu lintas memegang bendera mengawal pergerakan kenderaan namun pemandu terbabit dikatakan tidak menyedari keadaan itu.

Jurucakap polis berkata, ketika kerja membaiki dibuat di lorong kanan jalan, pemandu kereta terbabit melanggar beberapa kon yang diletakkan di kawasan itu sebelum merempuh kedua-dua pekerja malang berkenaan.

“Kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden,” katanya.

Sementara itu, katanya, satu lagi kemalangan maut turut dilaporkan dua jam selepas itu dekat Kilometer 88.8 Lebuhraya Utara Selatan Sungai Petani melibatkan seorang penunggang motosikal yang datang dari arah Alor Setar ke Sungai Petani.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal itu dikatakan berhenti di bawah jejantas untuk berteduh daripada hujan.

“Sebuah kereta yang datang dari arah belakang hilang kawalan dan gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang berhenti di lorong kecemasan.

“Mangsa, seorang warganegara Myammar, Abu Seddik Yusuf Ali, 35, yang tercampak atas longkang tepi lebuh raya maut di lokasi kejadian manakala kereta terbabit pula terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Chang mengesahkan kejadian.


Anak bermimpi bertemu arwah datuk

SUNGAI PETANI: Seorang ibu langsung tidak menyangka kata-kata anak lelakinya yang mendakwa bermimpi bertemu arwah datuknya akhirnya menjadi petanda yang arwah akan pergi meninggalkan keluarga selama-lamanya.

Sharina Mohd Karim, 49, dari Kampung Sungai Gelam, Bujang, Merbok, di sini, berkata dia mulanya menyangkakan anak lelakinya, Azrolnizam Alias, 27, bergurau apabila bercerita mengenai mimpi bertemu arwah datuknya, dua hari lalu.


Menurutnya, ketika itu, arwah bersama rakannya sedang membaiki motosikal di rumah apabila anaknya tiba-tiba memberitahu perkara itu sebaik lalu di depan mereka, namun tidak mengambil peduli kata-kata itu kerana arwah bercakap sambil ketawa.

“Saya menyangkakan arwah bergurau kerana sikapnya memang begitu atau mungkin kerana terlalu mengingati bapa mentua saya yang meninggal dunia, kira-kira dua bulan lalu menyebabkan dia berkata sedemikian kerana hubungan mereka begitu rapat.


“Namun, pagi itu (Jumaat), saya terkejut apabila arwah meminta ‘Mak tolong sediakan baju, Azrol nak pergi kerja’ kerana sebelum ini arwah tidak pernah meminta berbuat demikian. Dia lebih gemar membuat sendiri tetapi saya tidak kisah kerana menyangka arwah tidak sempat.


“Itulah kali terakhir saya bertemu dan bercakap dengannya sebelum menerima panggilan daripada rakannya kira-kira jam 6.15 petang (kelmarin) memberitahu Azrolnizam dan Kamal terbabit kemalangan sambil meminta saya dan suami, Alias Hanafi, 50, segera ke hospital,” katanya.

Menurutnya, ketika itu, dia dan suami dalam perjalanan pulang dari rumah ibunya di Pantai Cicar, Kuala Ketil ke rumah mereka sebelum bergegas ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), namun sebaik tiba dimaklumkan arwah sudah tiada.


“Saya tidak menyangka sama sekali kata-kata anak sulung itu yang dia bermimpi tok wan memanggilnya pergi bersama menjadi kenyataan. Walaupun sedih dengan kejadian itu, namun reda dengan ketentuan Allah,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan sekerja bekerja membaiki jalan berlubang di lokasi kejadian berhampiran sebuah pusat latihan memandu.


Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/temui-ajal-ketika-bekerja-1.94728
hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakbermimpibertemuarwahdatuk/Article/index_html




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my