loading...

Thursday, October 18, 2012

Murid Tahun 5 digilis lori tanah


19 Oktober 2012
SEREMBAN – Seorang murid Tahun Lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Cairo, Mantin, di sini, parah di kaki akibat digilis sebuah lori tanah.
  
Kejadian berlaku ketika mangsa, M Sharmila, 11, mahu melintas jalan di hadapan sekolah untuk menaiki bas yang sedia menunggu di seberang jalan, kira-kira jam 1.30 petang, semalam.
     
Bapa mangsa, P Murugan, 36, berkata, ketika kejadian, anaknya bersama 30 murid lain mahu melintas jalan, sebelum tiba-tiba muncul sebuah lori tanah muatan 10 tan.

“Pengawal keselamatan yang dilantik pihak sekolah telah memegang papan tanda berhenti dan  mengarahkan pemandu lori berkenaan supaya berhenti dengan meniup wisel serta memberi isyarat tangan, namun pemandunya enggan berbuat demikian," katanya.

Murugan yang juga bekas pengawal keselamatan sekolah berkenaan berkata, anaknya kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tuanku Ja'afar.

"Ambulans daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) membawa anak saya ke hospital sejurus kejadian berkenaan.

“Akibat kejadian itu, kaki kiri anak saya digilis lori terbabit, sementara murid lain sempat menyelamatkan diri," katanya di Hospital Tuanku Ja'afar, di sini, semalam.

Menurutnya, keadaan anaknya kini stabil tetapi doktor mengesahkan tiga jari kaki Sharmila putus, sementara tulang pergelangan kaki hancur.

"Ini kejadian pertama yang berlaku di sekolah anak saya dan pemandu lori terbabit telah ditahan polis dengan bantuan orang ramai yang menangkapnya sejurus kemalangan berlaku.

"Apa pun, saya harap anak saya akan segera sembuh dan dapat ke sekolah semula," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berkenaan kejadian itu..

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/murid-parah-digilis-lori-1.95993

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my