loading...

Saturday, October 20, 2012

Nahas tiga kenderaan


ALOR GAJAH: Seorang wanita warga emas parah manakala lima lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Bukit Nangka-Padang Sebang di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 7.45 malam itu, sebuah kereta pacuan empat roda dipandu warga emas berusia 72 tahun dari arah pekan ini menuju ke Tampin, Negeri Sembilan, hilang kawalan lalu bertembung dengan sebuah van dinaiki empat sekeluarga dan sebuah motosikal Honda EX5.


Kemalangan itu menyebabkan penumpang van, Jumanah Jabar, 55, parah manakala suaminya, Sharif Baba, 56, dan dua anak perempuan mereka, Siti Syafawani, 19, dan Siti Syawani, 18, cedera.

Pemandu kereta pacuan empat roda dan penunggang motosikal, Mohd Arif Bahari, 26, dari Tampin yang merempuh sisi van, juga cedera ringan.


Menurut Arif, dia yang dalam perjalanan ke tempat kerja di sebuah kilang di Kelemak, terkejut melihat serpihan kaca di atas jalan sebelum merempuh sisi van berkenaan.


“Kedudukan van melintang di tengah jalan gagal dilihat dengan jelas menyebabkan saya tidak sempat memberhentikan motosikal.

“Nasib baik saya tidak merempuh terus bahagian tengah van itu. Selepas terjatuh, saya melihat orang ramai mengerumuni van, membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam kelmarin.


Menurutnya, dia mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri manakala pemandu van keluar sendiri dari kenderaan itu manakala dua remaja perempuan cedera.

“Ketika itu, saya melihat sebuah kereta pacuan empat roda terbabas di tepi jalan namun pemandunya terselamat,” katanya.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Azman Said berkata, pihaknya ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.48 malam.


“Sejurus tiba, mangsa yang berada di tempat duduk depan van didapati masih tersepit dan kami terpaksa merenggangkan struktur kenderaan untuk mengeluarkannya.


“Kami mengambil masa 10 minit mengeluarkan mangsa yang dalam separuh sedar manakala mangsa lain dilaporkan selamat,” katanya.


Operasi menyelamat dijalankan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah selain dibantu JPAM Melaka Tengah dan Tampin.


Tiga mangsa cedera diberikan rawatan awal di tempat kemalangan sebelum dirujuk ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Nahastigakenderaan/Article/index_html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my