loading...

Saturday, November 9, 2013

Guru maut nahas 5 kenderaan


Inalillahi wainailaihi rojiun

10 November 2013
KUALA NERUS – Hasrat pasangan suami isteri untuk menyampaikan ceramah dalam seminar produk kesihatan semalam, tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan ngeri yang membabitkan lima kenderaan.

Khadi Saari, 53, dan Rohani Yusof, 49, cedera parah dan meninggal di tempat kejadian di Kilometer 26.5 Jalan Kuala Terengganu–Kota Bharu berdekatan Kampung Sungai Ikan, kira-kira jam 7.30 pagi.

Mereka dalam perjalanan dari Pasir Puteh ke Kuala Terengganu dengan kereta Produa Viva apabila ia bertembung dengan Honda CRV dari arah bertentangan.

Khadi, guru di salah sebuah sekolah di Besut, dilaporkan tercampak keluar dari keretanya dan dihempap enjin kereta itu.

Rohani, yang duduk di sebelah pemandu pula tercampak kira-kira 10 meter ke seberang jalan.

Difahamkan Khadi cuba mengelak kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi yang cuba memotong sebuah Honda CRV dari arah bertentangan apabila terbabas ke bahu jalan.

Mangsa kemudiannya dikatakan cuba naik semula ke atas jalan namun bertembung dengan Honda CRV berkenaan sebelum kereta dinaiki mangsa berlanggar dengan sebuah Proton Wira yang datang dari belakang.

Proton Wira berkenaan pula terbabas sebelum melanggar lori yang diletakkan di tepi jalan sebelum kenderaan itu dilanggar sebuah lagi Proton Wira yang datang dari arah yang sama.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Alias Hashim berkata, mayat pasangan berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat.

Menurut seorang rakan mangsa, Che Man Ali, 46, kedua-dua mangsa diminta memberi ceramah dalam seminar keusahawanan berkaitan produk kesihatan pada jam 9 pagi, semalam.



Pesanan Terakhir

Kuala Terengganu: Seorang anak tidak menyangka pesanan ibunya yang meminta dia menjaga 11 adiknya adalah amanat terakhir, sebelum ibu dan bapa tiri terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 26.5 Kuala Terengganu-Jertih, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi di Kampung Sungai Ikan itu, kereta PERODUA Viva dinaiki guru Sekolah Kebangsaan Tenang, Jertih, Khaadi Saari, 43, dan isterinya Rohani Yusof, 49, yang dalam perjalanan menghadiri seminar di Batu Enam di sini, bertembung dengan Honda CRV.

Anak sulung mangsa, Mohd Hafifi Mohd Sukri, 27, yang bekerja sebagai jurutera di Subang Jaya, Selangor, berkata dua minggu sebelum kejadian ibunya meminta dia menjaga adik-beradiknya dengan baik.

Malah dia juga terkilan apabila hasrat ibunya untuk menjenguk dia dan adiknya di Shah Alam, Selangor bulan depan tidak kesampaian.

“Saya menerima berita kemalangan ini jam 8.30 pagi dan terus bergegas bertolak ke kampung di Pasir Putih, Kelantan. Saya masih teringat pesan arwah ibu dua minggu lalu yang meminta saya menjaga 11 adik saya.

Tak sangka

“Saya tidak menyangka pesanan itu adalah permintaan terakhir kepada saya dan saya akan pikul tanggungjawab ini sebaiknya. Saya reda dengan pemergian ibu dan ayah walaupun sukar bagi kami menerima kehilangan ini," katanya.

Kenderaan pasangan dari Pasir Puteh, Kelantan itu hilang kawalan sebaik Mitsubishi Storm dari arah bertentangan memotong Honda CRV yang dipandu seorang lelaki berusia 20-an bersama bapanya berusia 50-an.

Khaadi yang membelok ke bahu jalan secara mengejut untuk mengelak Mitsubishi Storm cuba kembali ke laluan sebenar namun gagal apabila kenderaannya bertembung dengan kenderaan Honda CRV itu.


Tercampak keluar 

Kejadian itu menyebabkan Khadi tercampak keluar dari kereta dipandunya, manakala Rohani turut tercampak kurang 10 meter ke seberang jalan. Kedua-dua mereka meninggal di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan, manakala kereta mereka remuk teruk.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin mengesahkan kejadian yang meragut dua nyawa berhampiran Kampung Sungai Ikan itu.

“Lelaki berusia 50-an yang menaiki Honda CRV dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah , di sini, manakala anaknya dirawat sebagai pesakit luar,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Permintaanterakhiribu/MA/Article
bharian.com.my/bharian/articles/Ibupesanjaga11adiksebelumnahas/Article/
sinarharian.com.my/semasa/guru-maut-dihempap-enjin-1.219274



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my