Tuesday, November 5, 2013

Parah dirempuh peserta konvoi


5 November 2013
KULIM - Keghairahan ratusan remaja bermotosikal berkumpul di Sedim bagi perhimpunan Ladys Rempit Utara berakhir dengan tragedi apabila salah seorang peserta konvoi terlibat dalam kemalangan di Taman Sena kira-kira jam 11.30 pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian, dua penduduk tempatan yang merupakan warga emas sedang menunggang motosikal berasingan dari arah Labu Besar menuju ke Jubai.

“Konvoi ini melibatkan remaja bermotosikal dari seluruh pelosok Utara. Mereka dalam perjalanan ke Latar Sedim.

"Tiba di tempat kejadian, salah seorang peserta memasuki jalan bertentangan sebelum merempuh mangsa pertama dan kemudiannya merempuh mangsa kedua," katanya.

Katanya, akibat rempuhan itu dua mangsa yang terdiri dari warga emas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan badan.

"Kesemua mangsa terlibat kemudiannya dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Kulim untuk menerima rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Rakan Cop Labu Besar yang juga Pengerusi Pekida kawasan itu, Ahmad Nordin Ismail berkata, jalan Labu Besar sering digunakan golongan remaja untuk berlumba terutama pada hari Sabtu dan Ahad.

Menurutnya, keadaan ini akan menjadi lebih sesak apabila puluhan motosikal yang datang dari daerah luar menggunakan laluan itu untuk berkelah di Latar Sedim.

"Untuk memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin, Nordin meminta polis mengadakan sekatan jalan atau mengawasi laluan itu.

“Dari pemeriksaan dibuat terhadap suspek yang terlibat dalam kemalangan, kami dapati motosikal yang ditunggangnya tidak mempunyai cukai jalan dan nombor pendaftaran," katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain motosikal suspek tidak mempunyai cukai jalan, suspek  juga tidak memiliki lesen memandu yang sah.

"Saya meminta polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk membuat sekatan jalan dan membuat pemeriksaan terhadap mereka terlibat.

"Selain itu kami turut menerima laporan tentang penglibatan individu dan kumpulan yang melakukan jenayah curi motosikal di sekitar kawasan ini,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/parah-dirempuh-peserta-konvoi-1.217739



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount