loading...

Saturday, November 9, 2013

Laungan ALLAHUAKHBAR selamatkan nyawa



9 November 2013
REMBAU – “Sebaik nampak kereta tiba-tiba masuk ke laluan kami, kami tiga beranak serentak menjerit ALLAHUAKBAR dan berharap agar tiada perkara yang buruk berlaku,” luah mangsa kemalangan, Faiznuraqilah Ishak, 13, ketika ditemui di lokasi kemalangan di Kilometer 28.7 Seremban-Tampin, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 8.35 malam itu, tiga beranak berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bintongan, Kampung Batu, dekat sini, selepas membeli barangan dapur di Pekan Rembau.

Menurut Fauznuraqilah, dia menemani ibunya, Salasiah Basir, 49, dan adiknya, Faiznur Aisyah Al Humaira, lapan, ke Rembau namun tidak jauh dari persimpangan masuk menuju ke Bintongan, mereka terbabit dalam kemalangan.

“Kami sangat cemas namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius.  Malah, ini merupakan kali pertama kami terbabit dalam kemalangan selepas menggunakan MPV jenis Toyota Unser ini selama 13 tahun,” katanya.

Saksi kemalangan, Mohd Zulhisham Zainal, 15, berkata, ketika kejadian dia berada di pekarangan masjid dan ternampak sebuah kereta jenis Proton Saga dari arah Tampin masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan MPV.

Menurutnya, dia yang cemas bergegas ke lokasi kejadian dan membantu pemandu kereta Proton Saga yang terhentak di stereng kereta.

“Mujur tiada kecederaan serius. Seram apabila melihat rempuhan berkenaan sehingga tayar belakang kereta Proton Saga itu terangkat ke depan.

“Pada masa itu, jemaah masjid yang sedang membaca surah Yasin pada malam Jumaat keluar menghulurkan bantuan kepada mangsa," katanya.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, dipercayai pemandu kereta Proton Saga dari arah Tampin menuju ke Rembau hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh bahagian hadapan MPV Toyota Unser.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/laungan-allahuakhbar-selamatkan-nyawa-1.219049



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my