Wednesday, November 6, 2013

Ttersepit lebih 15 minit


7 November 2013
Alor Gajah: Seorang lelaki warga emas parah dan tersepit lebih 15 minit selepas lori tangki membawa muatan bahan kimia yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 198.8, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.45 pagi, mangsa, Mahazan Tawil, 61, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi kemalangan sebelum lori dipandu terbabas ke laluan bertentangan.


Lori itu merempuh pembahagi tengah lebuh raya sebelum melanggar sebuah kereta Toyota Vios yang dipandu Zulkifli Abd Wahab, 29.

Akibat rempuhan itu, mangsa yang memandu sendirian parah pada kedua-dua kaki dan tersepit di bahagian enjin manakala seorang wanita yang juga penumpang depan Toyota Vios, Noraini Hashim, 27, cedera di pinggang dan badan akibat hentakan.


Menurut Zulkifli, dia memandu di lorong tengah dan setibanya di tempat kejadian didapati sebuah lori tangki yang datang dari arah bertentangan terhoyong-hayang sebelum hilang kawalan.


“Kenderaan itu kemudian melanggar penghadang besi tengah lebuh raya dan terus masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kereta yang saya pandu. Akibat rempuhan itu, kereta saya berpusing beberapa kali sebelum terhenti di lorong kanan.

“Beberapa saat selepas kereta terhenti, saya gagahkan diri keluar dari kereta sambil melihat rakan di sebelah meraung kesakitan akibat hentakan dan mengadu badan serta pinggangnya cedera,” katanya.


Zulkifli yang juga pensyarah Kolej Matrikulasi di Tangkak bagaimanapun bersyukur kerana rakan sekerjanya itu tidak mengalami kecederaan teruk.

Sementara itu, jurucakap pasukan penyelamat berkata, pemandu lori tangki itu patah kedua belah kaki manakala penumpang Toyota Vios cedera di pinggang dan mereka dihantar ke Hospital Alor Gajah, di sini, untuk rawatan lanjut.


Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan 2 Mohd Shahril Zauni berkata, pihaknya menerima panggilan awam mengenai kemalangan berkenaan pada jam 11.50 pagi.


“Seramai tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat awal memaklumkan ada mangsa tersepit di dalam kenderaan.


“Kami mengambil masa kurang dari 10 minit untuk mengeluarkan pemandu lori yang tersepit dan memberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah oleh ambulans,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, semalam.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kemalangan berkenaan dan berkata, kedua-dua mangsa yang cedera itu dilaporkan berada dalam keadaan dilaporkan stabil.



Dua pensyarah terselamat

ALOR GAJAH - Dua pensyarah Kolej Matrikulasi Tangkak nyaris maut apabila kereta dinaiki mereka dirempuh treler yang memasuki laluan bertentangan di Kilometer 198.9 Lebuh Raya Utara - Selatan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.45 pagi, Noraini Hashim, 27, hanya mampu melaungkan takbir apabila melihat kereta jenis Toyota Vios dipandu Zulkiflie A Wahab, 29, dirempuh dari arah bertentangan meskipun sudah cuba dielak.

Zulkiflie berkata, dia dan Noraini yang dalam perjalanan dari Tangkak ke Kuala Lumpur atas urusan kerja terlihat sebuah treler muatan bahan kimia membuat tilam bergerak memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh pembahagi jalan.

“Apabila melihat keadaan itu saya yang memandu di laluan tengah cuba mengelak dengan menukar ke laluan kanan, namun tetap dilanggar treler berkenaan sebelum kereta berpusing sekali dan terus berhenti di laluan kanan.

“Apabila turun dari kereta saya melihat treler tersebut sudah terbabas di tebing bukit dan dalam masa sama rakan sekerja mengadu sakit pinggang dan syukur saya tak alami apa-apa kecederaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.


Sementara itu, pemandu treler, Mahazan Tawil, 61, cedera parah pada kedua-dua belah kaki apabila tersepit ditempat duduk pemandu selama lebih setengah jam.

Menurut sumber, Mahazan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kluang, Johor sebelum treler dipandunya hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan lalu melanggar kereta vios dari arah bertentangan.

Ketua Operasi, Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Shahril Zauni ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 11.50 pagi dan bergegas ke  lokasi bersama sebuah jentera dan enam anggota yang  lain.

“Kami tiba di lokasi 12 minit kemudian dan melihat seorang pemandu treler tersepit sebelum berjaya dikeluarkan jam 12.27 tengah hari dan dipercayai kedua-dua kaki mangsa cedera parah.

“Mangsa yang cedera termasuk penumpang kereta Vios dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.



Sumber:
hmetro.com.my/articles/Seksa15minit/Article/
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/dua-pensyarah-terselamat-dalam-kemalangan-1.218489


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount