loading...

Tuesday, November 5, 2013

Suami isteri maut pulang majlis kahwin



5 November 2013
MUAR - Sepasang suami isteri maut, manakala empat cedera selepas terlibat dalam nahas jalan raya membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 25 Jalan Muar-Batu Pahat, berhampiran Sungai Belukang, dekat Sungai Balang, di sini, malam kelmarin.


Dalam insiden kira-kira jam 9 malam itu, Tan Chai Soon, 55, dan How Siew Boon, 54, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Puteri, Batu Pahat, selepas menghadiri majlis perkahwinan rakan salah seorang anak mereka di bandar ini.

Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Persona dinaiki mangsa dari arah Muar menghala Batu Pahat memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena dan bas persiaran yang menghala ke Muar.

Pelanggaran kuat sebanyak dua kali menyebabkan kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan dan mendiang Siew Boon dipercayai tercampak keluar daripada kenderaan, manakala mendiang Chai Soon tersepit di tempat duduk pemandu.

MPV yang dinaiki tujuh sekeluarga pula terbabas ke kanan jalan seterusnya melanggar tiang lampu selepas dirempuh kereta suami isteri terbabit.

Manakala, bas persiaran yang membawa 28 penumpang dan berada di belakang MPV, terbabas ke kiri jalan serta memasuki kawasan kebun sawit ketika cuba mengelak.

Empat mangsa yang cedera adalah seorang penumpang Nissan Serena, Hanizah Misran, 44, yang patah tangan kiri sementara yang lain adalah pemandu bas berusia 46 tahun dan dua penumpang bas iaitu wanita berusia 23 dan 44 tahun.

Difahamkan, pemandu MPV terbabit dikatakan dalam perjalanan menghantar salah seorang anaknya pulang ke sebuah sekolah di sekitar bandar ini.

Pegawai Kanan Bomba 2, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Rahman Taib berkata, seramai lapan anggota berserta satu jentera ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Menurutnya, pihaknya mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, tetapi sudah meninggal dunia dan operasi itu selesai jam 10.24 malam.

Sementara itu, Ketua Polis Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan memberitahu semua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

“Mayat kedua-dua mangsa juga dibawa ke rumah mayat HPSF untuk bedah siasatan sebelum dituntut keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, adik mendiang Chai Soon, Tan Lee Kien, 45, berkata, dia tidak sampai hati menyampaikan khabar buruk yang menimpa abang dan kakak iparnya kepada ibu mereka.

Menurutnya, dia mengetahui berhubung insiden itu sekitar jam 11 malam, selepas dihubungi polis.

Tambahnya, dia khuatir ibu mereka yang menghidap sakit jantung terkejut dan tidak boleh menerima berita itu.

“Abang adalah anak sulung dalam keluarga dan dia tinggal bersama ibu yang berusia 80 tahun serta tiga anaknya. Hubungan mereka (ibu dan abang) amat rapat dan sebab itu saya tidak sampai hati beritahu ibu insiden ini (kemalangan).

Jelasnya, beberapa hari lalu, ketika menziarahi ibu mereka, abang dan kakak iparnya tidak menunjukkan sebarang perubahan serta kelihatan ceria seperti biasa.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/pasangan-sehidup-semati-1.217646
thestar.com.my/News/Nation/2013/11/05/Couple-dies-on-way-back-from-wedding-ceremony.aspx



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my