loading...

Wednesday, November 6, 2013

Maut kereta terputus dua

Inalillahi wainailaihi rojiun

6 November 2013
Kangar: “Dalam sekelip mata, arwah pergi buat selama-lamanya sedangkan sebelum itu kami bertiga sempat berjenaka ketika keluar minum bersama-sama. Hanya beberapa minit saja memisahkan antara hidup dan maut.”

Begitu kata Mohd Razizi Rosli, 29, apabila menyaksikan rakannya, Tajul Ariff Mohd Darus, 24, maut apabila kereta dinaiki terputus dua selepas merempuh sebatang pokok akibat terbabas dalam kemalangan di Jalan Tok Pulau, Tambung Tulang, di sini, semalam.


Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, Tajul Ariff yang memandu kereta jenis Honda Civic dan Mohd Razizi dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Tok Paduka, dekat sini, selepas berjumpa rakan mereka di Jitra, Kedah.

Razizi berkata, kenderaan dinaiki mereka melalui laluan gelap kerana tiada lampu jalan menyebabkan mangsa yang memandu tidak menyedari terdapat selekoh tajam sekali gus bertindak menarik stereng sebaik terlihat penghadang jalan bagi mengelak merempuhnya.


“Ketika itu, saya berada di tempat duduk penumpang depan dapat merasa kereta terumbang-ambing ketika terbabas sebelum merempuh pokok di bahu jalan berkenaan.


“Namun, saya bernasib baik kerana cedera ringan, tetapi berasa seperti bermimpi kerana mendapati Tajul tidak sedarkan diri.

“Saya kemudian merangkak keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.


Menurutnya, dia juga bagaikan tidak percaya dengan apa yang berlaku kerana sebelum itu mereka rancak berbual sebelum melihat arwah dalam keadaan sudah tidak bernyawa sejurus kemalangan berlaku.

“Saya berjaya merangkak keluar daripada kereta yang terhumban ke dalam sawah dan cuba membawa keluar Tajul, namun gagal kerana dia tersepit di tempat duduk pemandu.


“Berikutan itu, saya menghubungi rakan sebelum pihak polis dan bomba bagi mendapatkan bantuan mengeluarkan Tajul yang ketika itu sudah tidak bernyawa.


“Tidak dapat digambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu kerana rasa begitu sedih dengan kejadian menimpa kami, namun Tuhan lebih menyayanginya,” katanya.


Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin berkata, anak bongsu daripada lima beradik berkenaan bekerja di Tenaga Nasional Berhad dan dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum terbabas.


“Kereta mangsa kemudian tercampak ke dalam sawah menyebabkannya tersepit manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dan cedera ringan.


“Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan akibat rempuhan kuat menyebabkan kenderaan dipandunya putus dua,” katanya.


Mayat dibawa ke Bilik Mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, bagi tindakan lanjut dan dituntut waris untuk urusan pengebumian.

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Korbanselekohtajam/Article/index_html



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my