loading...

Saturday, November 9, 2013

Bilal maut lepas jemput jemaah haji



Inalillahi wainailaihi rojiun

9 November 2013
DUNGUN – Seorang bilal masjid yang baru pulang dari lapangan terbang setelah menjemput seorang jemaah haji, tidak sempat tiba di rumah apabila dia menemui ajal dalam perjalanan selepas terbabit kemalangan, di sini, petang kelmarin.

Mangsa, Abdullah Muhammad, 64, bersama tiga penumpang, Halimah Embong, 55 dan Senik Hussin, 55, termasuk jemaah haji, Mat Saman Hassan, 74, menaiki sebuah kereta Proton Persona dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu untuk pulang ke rumah di Tebing Tembah, Paka.

Sampai di Kilometer 14.5 Jalan Dungun-Bukit Besi berdekatan simpang Klinik Kesihatan Delong, Proton Persona dipandu Abdullah dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun, dipercayai hilang kawalan lalu melanggar papan tanda amaran dan merempuh sebuah lori syarikat kontrak penyelenggaraan kabel diletakkan di laluan sama.

Akibat rempuhan itu, kereta mangsa remuk teruk di bahagian hadapan menyebabkan Abdullah yang juga bilal Masjid Tebing Tembah, tersepit di tempat duduk pemandu, manakala tiga lagi rakannya cedera.

Mangsa yang beralamat di Kampung Baru Jalan Santong, bagaimanapun gagal diselamatkan akibat mengalami kecederaan  parah di bahagian kepala dan patah kaki kanan seterusnya meninggal dunia di tempat kejadian.

Tiga lagi rakannya yang cedera, dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Rakan arwah, Zaki Salleh, 50, berkata, Abdullah ketika hayatnya banyak berbakti kepada masyarakat terutama dalam menguruskan jenazah.

Menurutnya, dia terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada seorang rakan yang memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan.

"Saya tahu dia pergi jemput rakannya, Mat Saman yang baru pulang dari Makkah. Tak sangka pula mereka tak sempat sampai rumah. Mat Saman selamat, dia pula yang meninggal,” katanya.


Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Difahamkan, Mat Saman patah bahu kanan; isterinya, Halimah patah tangan kanan, manakala rakan mereka, Senik patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika Proton Persona dipandu Abdullah merempuh papan tanda dan lori tersebut, sekumpulan pekerja sedang melakukan kerja penyelenggaraan kabel Telekom, bagaimanapun mereka tidak cedera.

“Jenazah arwah dituntut ahli keluarga untuk urusan pengebumian. Kita masih menjalankan siasatan berkaitan kemalangan tersebut,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/maut-lepas-ambil-jemaah-haji-1.219037



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my