loading...

Monday, August 19, 2013

Tercampak 50 meter



19 Ogos 2013
IPOH - Seorang lelaki dipercayai warga India maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta sehingga menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 50 meter dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Jelapang tengah malam tadi.



Mangsa yang masih tidak dapat dikenal pasti identitinya dipercayai dalam perjalanan ke Silibin sebelum dirempuh kereta jenis Proton Satria yang datang dari arah belakang.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ipoh, Deputi Superintendan Wan Shahruddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, kereta yang dipandu seorang kakitangan awam berusia 25 tahun dalam perjalanan dari Meru menuju ke Silibin.

Menurutnya, ketika tiba berhampiran deretan rumah kedai, kereta tersebut merempuh penunggang basikal yang berada di hadapannya.



“Akibat rempuhan, mangsa telah tercampak sejauh 50 meter dan mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.

“Manakala penumpang di tempat duduk hadapan yang bekerja sebagai jurukimpal mengalami kecederaan di kepala.

“Bagaimanapun, pemandu terbit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam perkembangan sama, Wan Shahruddin berkata, kejadian berlaku sewaktu cuaca baik dan aliran trafik tidak sibuk malah keadaan jalan lurus dan kering.

“Keadaan jalan adalah dua hala empat lorong dan kawasan kemalangan diterangi lampu jalan,” jelasnya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dibedah siasat.

“Mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Berikutan itu, beliau menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau rakan tampil ke balai polis berhampiran bagi mengenal pasti identiti mangsa serta membantu siasatan kes kemalangan berkenaan.


Sumber:
sinarharian.com.my/lelaki-tercampak-50-meter-1.193251


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my